JUST IN

Harap keadilan segera berpihak Bella

by | Apr 22, 2022 | Opinions | 0 comments

OLEH: SAIFUL NANG

Saya telah hubungi salah seorang peguam pemerhati kes Bella yang kebetulan rakan saya. Saya pun bukan berniat untuk berkongsi rasa atas landasan perundangan tetapi lebih kepada luahan perasaan sebagai seorang bapa kepada anak syurga ‘Down Syndrome’.

Saya dianugerahkan dengan seorang anak ‘Down Syndrome’, namanya Arman. Cuma tak sempat lama bersama sebelum Allah ambil semula. Sejak itu, saya lihat semua anak ‘Down Syndrome’, pasti akan buat saya berhenti, menyapa dan sekurang-kurangnya memberikan satu tamparan ‘hi-5’ kepada mereka.

Sekalipun tak lama merasa anugerah terbaik itu, tapi ia laluan buat saya lebih kenal anak-anak ‘Down Syndrome’.

Anak ‘Down Syndrome’ anak istimewa yang lebih jujur dalam kasih sayang. Mereka kalau sayang kita, mereka sayang tanpa syarat. Sebab itu mereka sangat dikenali sebagai makhluk paling penyayang.

Mereka tak pandai menipu, kalau mereka cuba menipu pun, kita boleh tahu namun sayang, jarang persaksian mereka diterima orang sedangkan orang yang cukup sifat lebih pandai memutar belit berbanding anak-anak istimewa ini.

‘Name it Down Syndrome, Autistic’ atau anak-anak yang kononnya ditakrif sebagai orang kurang upaya (OKU) Pembelajaran. Nak jadi penipu ni, kena bijak ye saudara saudari sekalian.

Tapi sayang, penyaksian golongan yang layak jadi penipu ini yang lebih dipandang legit berbanding yang dilahirkan tak pandai mengolah. Hitam dia cakap hitam, biru dia cakap biru.

Isu Bella, satu yang pasti ialah anak ini didera dan cedera. Soal siapa yang mendera itu yang perlu dicari. Proses perundangan cuma nak menentukan adakah orang kena tuduh (OKT) yang mendera atau ada orang lain? Tetapi bukanlah menolak kemungkinan sebenarnya Bella tidak didera.

‘Down Syndrome’ bukannya penyakit gila. Cuma terlebih kromosom menyebabkan anak ini istimewa. Saya sangkal kalau ada yang kata, anak ini mencederakan diri sendiri. Kita boleh tolak kemungkinan ini. Maka, kemungkinan yang tinggal ialah, Bella dicederakan oleh orang. Dan orang itu, yang perlu kita cari untuk menerima balasan.

Saya tidak berani untu membenci OKT terlalu awal kerana beliau belum terbukti bersalah dan mungkin akan ada ‘plot twist’. Namun tak dapat lari juga dari persepsi kerana OKT berada di tempat yang tepat untuk dikaitkan dengan penderaan Bella.

Saya fikir, orang lain pun begitu juga fikirannya. Paling tidak, pengabaian (negligence) juga satu kesalahan yang perlu Siti Bainun pikul. Kalau ada ‘plot twist’ yang logik dan bukan setara ‘twist sinetron’ dari seberang.

Jika boleh difikirkan pun mungkin tiba-tiba Siti Bainun didapati mempunyai masalah sakit mental dan kemudian terlepas dari hukuman.

Seperti ada rasa kepelikan, bila tiga hari pertama perbicaraan seperti tiada liputan media langsung sehingga Aliff Ahmad dan Mona mengamuk kenapa satu kes tumpuan masyarakat ini tidak mendapat liputan media.

Kemudian barulah media dan sosial media memberi tumpuan kepada kes. ‘Ahli Silap Mata’ boleh melesapkan seekor gajah di atas pentas dengan membuatkan orang tidak perasan akan gajah itu.

Tentang ‘body shaming’ kepada Siti Bainun, pada saya itu satu perkara tidak bermoral. Kita tak akan jadi orang lebih baik jika orang buat perkara tak bermoral, kita pun balas dengan cara tak bermoral juga. Bila seorang dah mencarut, dibalas dengan carutan juga tak menjadikan carutan kedua lebih mulia, tapi sama sahaja.

Ada ‘troll’ tentang Syed Azmi yang lantang bila kes pada orang lain, dia berdiri menjadi jaguh tetapi bila kes terkait beliau, terus diam seribu bahasa.

Yang ini wargamaya perlu faham, kalau kes tu kes kita sendiri atau terkait dengan kita, kenyataan kita di luar mahkamah boleh mengganggu prosiding perundangan. Tapi kalau kita tak ada kena mengena dengan kes, hanya sebagai pihak tiada kaitan, tidaklah sampai mengganggu prosiding mahkamah. Rasanya, ini asas sahaja.

Sekiranya OKT didapati bersalah, saya fikir tiada hukuman yang setimpal kalau sekadar kena denda dan duduk dipenjara sebentar. Sebaiknya, elok setiap parut dera, setiap trauma mental diganti semula seadil-adilnya. Jika Bella dipaksa makan najis sendiri, kita pastikan yang bersalah makan najisnya sendiri.

Sebagai salah seorang ‘filantrofis’ yang menjaga anak yatim, warga emas, OKU, ibu-ibu tunggal dan ramai golongan asnaf di Rumah Pengasih Warga Prihatin, saya sarankan kepada mereka yang tidak ikhlas untuk tidak meletakkan tangan mereka kepada kerja ini.

Ini kerja yang berat tetapi jika kita gembira lakukannya dengan ikhlas, yang berat juga jadi ringan. Tapi jika buatnya untuk sekadar menjadi sumber pendapatan, kita yang akan stres dan akhirnya stres itu ditukar kepada penderaan.

Saya bukan jenis bapa yang tak titik tangan anak kalau degil. Kita bapak tradisional yang masih percaya akan kuasa rotan. Namun kegunaan rotan ini sebagai ‘buffer’ kemarahan. Tiada lagi kes budak mati kena rotan kecuali rotan penjara yang besar dibalun belakang kepala, yang itu memanglah boleh meninggal.

Merotan untuk mendidik, bukan untuk lepas geram. Selalunya rotan tu pun singgah di pintu, atas meja dan lantai lebih dari dititik atas kulit.

Namun kalau dah anak istimewa, kena faham mereka ada kelebihan dan ada juga kekurangan. Jangan kau marah ikan kerana tak pandai panjat pokok seperti spesis kamu yang suka bergayutan dari dahan ke dahan.

Fitrahnya, ikan akan pandai berenang tapi tak pandai memanjat. Yang layak dirotan sekalipun jenis yang berakal yang pandai nak mengakal orang, bukannya anak istimewa begini, apatah lagi didera secara fizikal dan mental.

Saya harap, perundangan di Malaysia tidak hentikan kes ini atas sebab-sebab teknikal tetapi carilah keadilan sehingga keadilan itu mampu berdiri lebih tegak dari benang basah yang ditopang oleh barisan peguam-peguam yang aneh.

Semoga keadilan untuk anakku, Bella.

-THE MALAYSIA VOICE

(Kenyataan ini adalah adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian rasmi The Malaysia Voice mahupun themalaysiavoice.com)