JUST IN

Kenapa harga barang semakin naik dan mahal?

by | May 28, 2022 | Opinions | 0 comments

OLEH: BADRUL HISYAM

Turun naik harga makanan adalah norma pasaran. Rata-rata dari kita juga menerima hakikat ini. Malahan pasaran memerlukan harga turun dan naik untuk membolehkan masalah lebihan atau kekurangan produk dapat diatasi.

Contohnya, jika berlaku lambakan stok yang berlebihan, sesuatu barang itu hanya boleh dijual melalui harga yang rendah dan begitu jugalah sebaliknya. Ini adalah fungsi asas konsep harga.

Tetapi apabila kenaikan harga barangan melebihi paras normal atau dengan kata mudah, harga meningkat secara berlebihan, perkara ini sukar untuk diterima khususnya rakyat yang berpendapatan rendah.

Kegelisahan pengguna terhadap apa yang berlaku hari ini sebenarnya berasas kerana sejak kebelakangan ini harga barang mentah dan barang keperluan harian mengalami peningkatan yang luar biasa atau berlebihan, di mana peratus peningkatan yang berlaku adalah lebih tinggi berbanding sebelum ini.

Jika dahulu dengan berbekalkan wang RM150 kita boleh memenuhkan sebuah troli di pasar raya. Namun kini ia sangat berbeza, RM150 itu hanya mampu memenuhkan satu bakul sahaja.

Sebenarnya masalah kenaikan harga barang ini bukanlah berlaku kepada rakyat Malaysia sahaja tetapi isu kenaikan harga barang kini sudah menjadi isu global.

Menurut pakar ekonomi, apa yang berlaku hari ini berkait rapat dengan tekanan inflasi yang berlaku disebabkan oleh beberapa faktor, seperti kesesakan rantaian bekalan, harga komoditi yang melambung tinggi, masalah tenaga global dan juga kekurangan tenaga buruh akibat penularan wabak Covid-19 sejak dua tahun yang lalu.

Bukan itu sahaja, impak dari krisis yang berlaku di antara Rusia dan Ukraine juga memberi kesan yang besar kepada ekonomi dunia. Serangan ke atas Ukraine dan sekatan yang dikenakan Barat terhadap Rusia sedikit sebanyak telah mempengaruhi beberapa bahan penting dalam pasaran.

Manakala harga barang makanan domestik pula sebahagian besar faktor yang mempengaruhi kenaikan harga makanan adalah disebabkan kesan bermusim dan kekurangan pekerja. Harga hasil segar seperti sayur-sayuran hijau dilaporkan telah melonjak lebih dari 200 peratus, manakala beberapa makanan ruji termasuk ayam dan telur juga lebih mahal.

Selepas terpaksa menghadapi siri ‘lockdown’ yang bersambung-sambung akibat Covid-19, penduduk dunia hari ini terpaksa pula berdepan dengan masalah inflasi kesan daripada wabak tersebut terhadap ekonomi dunia. Perkara ini dipercayai berlaku kerana ekonomi berada dalam peringkat awal proses pemulihan.

Inflasi ialah ukuran kadar kenaikan harga barang dan perkhidmatan dalam sesebuah ekonomi. Sekiranya inflasi berlaku yang membawa kenaikan harga barang keperluan asas ia akan memberi kesan negatif kepada masyarakat.

Inflasi melanda semua orang tidak kira apa golongan sekalipun. Namun golongan yang paling terasa adalah mereka yang berpendapatan rendah terutamanya apabila kenaikan gaji yang diterima gagal untuk bersaing dengan inflasi. Atau dengan kata mudah walaupun menerima kenaikan gaji tetapi ia tidak memberi sebarang makna disebabkan oleh kenaikan harga barang yang terlalu tinggi.

Inflasi boleh berlaku dalam hampir semua produk atau perkhidmatan termasuk perbelanjaan berasaskan keperluan seperti perumahan, makanan, penjagaan perubatan, utiliti, kosmetik, kereta dan barang kemas.

Inflasi boleh jadi suatu kebimbangan kerana ia boleh menjadikan wang yang disimpan hari ini kurang bernilai untuk hari esok. Inflasi juga akan menghakis kuasa beli pengguna.

Persoalannya adakah ada pihak yang akan menerima manfaat daripada inflasi ini? Dari pihak pengguna, sudah semestinya kita lebih merasa terbeban tetapi bagi para pelabur mereka boleh menikmati manfaat jika mereka memegang aset dalam pasaran yang terjejas oleh inflasi.

Sebagai contoh, mereka yang melabur dalam syarikat tenaga mungkin akan menikmati harga saham jika harga tenaga meningkat. Sesetengah syarikat juga akan mendapat kelebihan inflasi jika mereka boleh mengenakan bayaran lebih untuk produk mereka akibat lonjakan permintaan untuk barangan mereka.

Contohnya jika ekonomi menunjukkan prestasi yang baik dan permintaan perumahan tinggi, syarikat pemaju perumahan boleh mengenakan harga yang lebih tinggi untuk menjual rumah.

Dengan kata lain inflasi boleh menyediakan perniagaan dengan kuasa harga dan meningkatkan margin keuntungan mereka. Jika margin keuntungan meningkat ini bermakna harga yang dikenakan syarikat untuk produk syarikat mereka juga akan meningkat pada kadar yang lebih cepat daripada kenaikan kos pengeluaran.

Bukan itu sahaja, ada juga sesetengah pemilik perniagaan yang dengan sengaja menahan bekalan daripada masuk ke pasaran dan seterusnya membolehkan mereka menaikkan harga ke tahap yang lebih tinggi dan kadang-kadang hingga tidak masuk akal.

Pasca pandemik Covid-19 bukan sahaja menyebabkan kejutan kepada ekonomi dunia tetapi juga menggangu rantaian bekalan makanan selain menyumbang kepada kelewatan dalam penghantaran.

Kekurangan tenaga kerja dan permintaan pengguna yang melonjak tinggi memburukkan lagi masalah ini.

Kekurangan bekalan barangan ditambah pula dengan kos penghantaran yang meningkat menyebabkan harga barang juga meningkat. Ini dapat dilihat dalam peningkatan besar yang berlaku dalam bekalan makanan dan bahan api sejak beberapa bulan lalu.

Data terkini daripada Bureau of Labour Statistics (BLS) menunjukkan harga petrol naik sebanyak 48 peratus manakala harga tenaga pula naik sebanyak 32 peratus sepanjang tahun lepas. Menurut BLS lagi harga kenderaan terpakai dijangka akan meningkat 35 peratus untuk tahun ini. Manakala untuk kenderaan baru juga meningkat sebanyak 12.5 peratus.

Menghasilkan sesuatu barangan merupakan satu proses, jadi jika berlaku gangguan atau kerosakan dimana-mana sahaja peringkat proses tersebut ia akan memberi kesan kepada keseluruhan proses. Berkait juga dengan penularan pandemik Covid-19 ia telah menggangu rantaian bekalan makanan.

Covid-19 telah memberi impak kepada semua segmen rantaian bekalan makanan dan pada masa yang sama turut menjejaskan proses pengeluaran di ladang, pemprosesan makanan, pengangkutan logistik serta pemintaan akhir. Sebagai contoh, banyak kilang terpaksa ditutup disebabkan ‘lockdown’ dan penutupan ini menggangu proses pengeluaran.

Seperti umum ketahui, tahun 2022 dunia sedang berdepan kepada krisis yang berlaku di antara Rusia dan Ukraine di mana ketegangan di antara kedua-dua negara telah mencapai kemuncak apabila Rusia melancarkan serangan berskala besar ke atas Ukraine pada 24 Februari 2022.

 Tidak dinafikan perang yang meletus ini sememangnya memberi kesan yang besar kepada penduduk Ukraine. Namum sebenarnya bukan Ukraine sahaja yang merasa kesannya malah seluruh dunia juga mengalami kesan akibat krisis kedua-dua negara ini khususnya dari segi ekonomi.

Serangan ke atas Ukraine dan sekatan yang dikenakan oleh banyak negara ke atas Rusia sedikit sebanyak mempengaruhi harga barang asas dalam pasaran.

Antara bahan penting yang terkesan ialah bijirin iaitu gandum dan jagung, gas asli, minyak serta logam. Kedua-dua negara ini merupakan pengeluar bagi produk tersebut. Jadi tidak hairanlah bagaimana perang boleh menaikkan harga barang.

Kesimpulannya, pelbagai faktor yang mempengaruhi kenaikan harga barangan ini.

Kepada kerajaan anda perlulah bijak dalam menguruskan ekonomi negara bagi memastikan harga barangan tidak terus melonjak naik. Jadilah kerajaan yang bertanggungjawab dengan memantau setiap harga barangan supaya manipulasi harga tidak berlaku.

Bersifat tegaslah terhadap monopoli dan amalan kronisme yang menguntungkan segelintir pihak sahaja!

-THE MALAYSIA VOICE

(Kenyataan ini adalah adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian rasmi The Malaysia Voice mahupun themalaysiavoice.com)

JUST IN 

SEARCH 

ADVERTISEMENT 

OUR CATEGORIES