Dakwaan bahawa Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Nvidia, Jensen Huang, pernah bertemu ahli perniagaan Alice Huang yang dikaitkan dengan skandal intipan di Malaysia, tidak disokong sebarang laporan sahih setakat ini.
Sebaliknya, kaitan Malaysia dalam isu berkenaan lebih menjurus kepada sebuah syarikat berpangkalan di Singapura yang mempunyai anak syarikat di negara ini dan didakwa terlibat dalam urus niaga cip kecerdasan buatan (AI), Nvidia.
Alice dilaporkan pernah memegang jawatan kanan di Megaspeed International sebelum melepaskan jawatannya pada penghujung 2023. Syarikat itu mempunyai anak syarikat milik penuh di Malaysia, Speedmatrix Sdn Bhd.
Menurut laporan media antarabangsa, Megaspeed membeli cip AI Nvidia bernilai US$4.8 bilion antara Jun 2024 hingga Februari tahun ini. Cip berkenaan didakwa dihantar ke pusat data di Malaysia dan Indonesia yang dipercayai menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan di China.
Perkembangan itu menimbulkan persoalan mengenai kemungkinan pelanggaran sekatan eksport Amerika Syarikat (AS) terhadap penghantaran teknologi berkenaan ke China.
Bagaimanapun, Megaspeed menafikan sebarang salah laku dan menegaskan syarikat itu sentiasa mematuhi semua peraturan yang ditetapkan.
Sementara itu, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) pada 13 November memaklumkan bahawa pihaknya bekerjasama dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia bagi menyiasat sama ada cip yang dibawa masuk oleh Speedmatrix dieksport semula ke negara lain tanpa mematuhi peraturan.
MITI menjelaskan bahawa walaupun kemasukan cip AI ke Malaysia tidak memerlukan permit ketika ini, aktiviti eksport semula, pemindahan kapal atau transit cip AI berprestasi tinggi keluaran AS melalui Malaysia memerlukan kelulusan sejak Julai 2025.
Kementerian itu turut menegaskan bahawa Malaysia tidak pernah memberikan pelepasan atau pengesahan pematuhan kepada Megaspeed mahupun Speedmatrix.
Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Perdagangan dan Jabatan Kehakiman AS pada 16 November mengesahkan bahawa siasatan terhadap Megaspeed telah dimulakan sejak 2024 susulan aktiviti mencurigakan berkaitan kemungkinan pengalihan cip semikonduktor sensitif.
Siasatan itu turut menyaksikan Alice ditemu bual oleh pegawai AS pada Jun 2025.
Sementara itu, laporan media antarabangsa menyatakan Jensen dan Alice pernah bertemu di beberapa lokasi termasuk Shanghai, California dan Taiwan, dengan salah satu pertemuan mereka dirakam ketika makan malam di Taipei pada Mei 2025.
Bagaimanapun, tiada bukti bahawa kedua-duanya pernah mengadakan pertemuan di Malaysia.
Alice juga tidak mempunyai pertalian keluarga dengan Jensen meskipun berkongsi nama keluarga Huang.
-THE MALAYSIA VOICE







