JUST IN

Infantino berdepan dua pencabar dalam pemilihan Presiden FIFA 2027

by | Nov 19, 2026 | Sports

Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino bakal dicabar dua individu dalam usaha mempertahankan jawatannya bagi penggal keempat pada pemilihan yang dijadual berlangsung Mac tahun depan.

Dua pencabar yang disenaraikan secara rasmi ialah Presiden Persekutuan Bolasepak Perancis (FFF), Philippe Diallo dan tokoh bola sepak Jepun, Kozo Tashima, menurut pengumuman FIFA hari ini.

Bekas pertahanan Switzerland, Ramon Vega yang sebelum ini mengumumkan hasrat untuk bertanding bulan lepas, bagaimanapun tidak tersenarai dalam senarai pencalonan yang diterima badan induk bola sepak dunia itu.

FIFA dalam kenyataannya memaklumkan tiga pencalonan diterima menjelang tamat tempoh penyerahan pada Rabu dan kesemuanya telah dikemukakan kepada jawatankuasa pilihan raya untuk proses pemeriksaan serta penentuan kelayakan.

Infantino, 56, yang menerajui FIFA sejak 2016, berusaha melanjutkan tempoh kepimpinannya sehingga 2031.

Pemilihan itu akan berlangsung pada Kongres FIFA ke-77 di Rabat, Maghribi, pada 18 Mac 2027, dengan membabitkan 211 persatuan anggota yang masing-masing mempunyai satu undi.

Diallo, 63, dilihat sebagai pencabar utama selepas memperoleh sokongan sebulat suara persatuan anggota Kesatuan Persatuan Bolasepak Eropah (UEFA), yang mempunyai 55 undi.

Sementara itu, Tashima, 68, yang juga Presiden Kehormat Persatuan Bolasepak Jepun (JFA), mencipta sejarah sebagai calon pertama dari Jepun yang bertanding merebut jawatan berkenaan.

Persaingan kali ini menyaksikan Infantino berdepan cabaran susulan kontroversi cadangannya untuk membabitkan pelabur swasta dalam hak komersial kejohanan FIFA, termasuk Piala Dunia, yang mencetuskan bantahan beberapa konfederasi bola sepak utama.

Bagaimanapun, peluang beliau dilihat semakin kukuh selepas Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) menyatakan sokongan terhadap pencalonannya.

Pemilihan itu turut dibayangi persoalan mengenai kelayakan Infantino bertanding untuk penggal keempat berikutan statut FIFA menetapkan had maksimum tiga penggal penuh bagi jawatan presiden.

FIFA sebelum ini memutuskan tempoh perkhidmatannya dari 2016 hingga 2019 tidak dikira sebagai satu penggal penuh kerana beliau mengambil alih baki tempoh pentadbiran bekas Presiden Sepp Blatter.

Keputusan muktamad mengenai calon yang layak bertanding dijangka dimaklumkan kepada semua persatuan anggota selewat-lewatnya 18 Februari 2027.

-THE MALAYSIA VOICE

bakal-presiden-FIFA.jpg