OLEH: AMIR HAMZAH
Konsert Justin Bierber bakal berlangsung pada bulan Oktober tahun ini dan tiket dah ‘sold out’.
Saya menghormati pandangan ustaz dan ustazah yang ada dalam kalangan mereka menganggap konsert ini adalah maksiat atau membawa kepada maksiat.
Ada juga dalam kalangan ilmuan yang saya hormati ini, mengajak ibu bapa menghalang anak-anak dari mengikuti konsert ini. Itu adalah pandangan mereka dan ada benarnya.
Bagi pandangan saya, kejahatan berlaku apabila iman lemah, tidak terlatih dan tidak dapat mengawal diri. Jika iman kuat, letaklah di negara bukan Islam, tudung tetap dipakai dengan sopan dan masih terpelihara dari zina.
Namun jika iman lemah, duduklah di negeri yang wayangnya mengasingkan lelaki dan perempuan sekalipun, bahkan mengharamkannya. Zina masih berlaku, rogol berlaku, tangkap basah pun berlaku.
Saya tidak merujuk kepada mana-mana negeri di Malaysia.
Setiap generasi mempunyai cabarannya sendiri. Generasi ‘Tok Ayah’ saya, cabaran mereka ialah hidup dalam zaman peperangan. Ketakutan dengan kekejaman Jepun dan komunis.
Manakala cabaran generasi muda sekarang (25 tahun ke bawah), mereka sukar mencari kerja, diploma dan ijazah tak laku, peluang kerja yang kurang, harga rumah yang pasti berlipat kali ganda bila sampai masa mereka untuk berumahtangga, kesan ekonomi akibat Covid, peperangan, kebodohan ahli-ahli politik yang lahir sebelum televisyen berwarna dan banyak lagi.
Mereka ialah generasi yang menderita akibat daripada kesilapan kita memilih pemimpin dan juga ketidakadilan hanya kerana pangkat dan nama. Ziarah kubur kena denda RM1,000, ziarah kedai karpet di Nilai, terus tukar jadi daerah negeri lain. Hebat.
Konsert ini bagi saya memberi peluang dan ruang kepada anak-anak muda untuk ‘berehat’ sebentar daripada cabaran-cabaran yang ditempuhi bermula tahun 2020 lepas semasa awal penularan Covid-19.
Juga untuk berseronok dan hilangkan tekanan setelah berjaya menamatkan pengajian secara ‘online’ (yang sangat stres bagi saya), dan kemurungan akibat terkurung lama.
Di Jerman (berdasarkan sumber internet), lebih ramai remaja mati akibat bunuh diri semasa perintah berkurung daripada mati akibat Covid.
Sebagai ibu, bapa atau penjaga, perlu nasihatkan anak-anak untuk menjaga pergaulan semasa menghadiri konsert. Dan sekiranya dari kecil anda dah didik anak, tidak sepatutnya bimbang melainkan akan keselamatan mereka.
Jika bimbang, temankan sahaja sekali atau sertai kumpulan sekali dengan rakan-rakan anak yang lain. Habis konsert, telefon mak ayah datang ambil.
Saya sebagai individu yang tidak mempunyai latar belakang pengajian tinggi dalam bidang agama, sudah tentu tidak akan mempertikaikan nasihat ustazah dan ustaz.
Hanya pandangan saya, dengan prosedur operasi standard (SOP) keselamatan dari penganjur, penjarakan atau SOP yang ada, penyanyi yang tidak menyanyikan lagu-lagu lucah atau keagamaan berbaur anti agama, maka tidaklah terlalu membahayakan anak-anak muda Melayu.
Dalam masa yang sama, jangan ‘bantai’ semua. Memang ada anak muda Melayu yang meminum arak, yang berpakaian kurang sopan, yang berambut ‘blonde’ dan bersubang (no judge).
Tapi ada juga yang bertudung, yang solat sebelum ke sana, yang hanya ingin berseronok dan hilangkan tekanan selepas kegilaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.
Maksiat di mana-mana dan berlaku dengan iman yang lemah. Sama ada di konsert Justin Bieber atau boleh juga berlaku di rumah, berkain pelekat sambil ‘search’ sesuatu di Google.
Biarkan sahaja mereka berseronok. Tapi pastikan keselamatan mereka. Jadi pemandu hantar dan ambil. Kita pernah jadi orang muda. Zaman berubah dan beri peluang untuk mereka berhibur.
Penafian: Dalam masa yang sama, saya tidak menggalakkan mereka ke konsert atas faktor risiko penularan wabak Covid. Mungkin dengan SOP yang ketat, perkara ini dapat dielakkan atau diminimumkan. Tambahan pula, masa kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini boleh pula ahli-ahli politik dan penyokong gesel-gesel tanpa SOP. Inikan pula majlis yang ada SOP.
-THE MALAYSIA VOICE
(Kenyataan ini adalah adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian rasmi The Malaysia Voice mahupun themalaysiavoice.com)





