JUST IN

Piala Dunia catat sejarah baharu, empat perlawanan berakhir seri

by | Jun 16, 2026 | Sports

Juara Eropah, Sepanyol dikejutkan apabila gagal memecahkan benteng Cape Verde selepas sekadar seri tanpa jaringan dalam aksi pembukaan Kumpulan H Piala Dunia, sekali gus menyaksikan negara Afrika itu mencipta antara kejutan terbesar kejohanan setakat ini.

Dijangka mudah menewaskan pasukan yang membuat penampilan sulung di pentas Piala Dunia, Sepanyol sebaliknya berdepan tentangan sengit Cape Verde yang mempertahankan kubu mereka dengan penuh disiplin sepanjang perlawanan di Atlanta.

Walaupun menguasai 74 peratus penguasaan bola dan melancarkan serangan bertali arus, skuad kendalian Sepanyol gagal menemui sentuhan penyudah untuk menewaskan penjaga gol berpengalaman Cape Verde, Vozinha.

Peluang terbaik Sepanyol hadir menerusi Ferran Torres yang terkena palang gol pada babak pertama, manakala beberapa percubaan lain termasuk tandukan Mikel Oyarzabal dan Aymeric Laporte berjaya digagalkan Vozinha.

Kemasukan pemain muda sensasi, Lamine Yamal, pada separuh masa kedua menyuntik lebih tenaga kepada jentera serangan Sepanyol, namun Cape Verde terus bertahan dengan cemerlang sebelum hampir mencipta kemenangan dramatik pada penghujung perlawanan menerusi Dani Borges.

Keputusan itu menyaksikan Cape Verde meraih satu mata berharga dalam penampilan pertama mereka di Piala Dunia, manakala Sepanyol perlu segera memperkemaskan prestasi menjelang pertemuan menentang Arab Saudi.

Sementara itu di Los Angeles, Iran mempamerkan semangat juang tinggi apabila bangkit dua kali daripada ketinggalan untuk mengikat New Zealand 2-2 dalam aksi pembukaan Kumpulan G.

New Zealand terlebih dahulu membuka jaringan seawal minit ketujuh menerusi Elijah Just hasil hantaran Chris Wood.

Iran yang mendapat sokongan padu penyokong mereka berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-32 melalui Ramin Rezaeian sebelum Just sekali lagi meletakkan New Zealand di hadapan pada minit ke-54.

Bagaimanapun, Mohammad Mohebbi memastikan Iran tidak pulang tangan kosong apabila menjaringkan gol penyamaan kedua pada minit ke-64 untuk mengesahkan keputusan seri.

Keputusan itu menyaksikan semua pasukan dalam Kumpulan G mengumpul satu mata selepas Belgium dan Mesir turut terikat 1-1 dalam satu lagi perlawanan kumpulan.

Dalam aksi tersebut, Mesir hampir melakar kemenangan pertama mereka di Piala Dunia apabila mendahului menerusi rembatan jarak jauh Emam Ashour pada minit ke-19.

Namun, harapan juara tujuh kali Piala Negara-Negara Afrika itu musnah selepas pertahanan Mohamed Hany tertampan bola ke gawang sendiri ketika cuba menghalang ancaman penyerang Belgium, Romelu Lukaku, pada babak kedua.

Sementara itu, satu lagi keputusan seri dicatat dalam Kumpulan H apabila Uruguay dan Arab Saudi berkongsi mata selepas seri 1-1 di Miami.

Arab Saudi mengejutkan lawan apabila mendahului menerusi Abdulelah Al-Amri pada minit ke-41 selepas memanfaatkan kesilapan penjaga gol Uruguay, Fernando Muslera.

Uruguay yang menguasai sebahagian besar permainan akhirnya berjaya menyamakan kedudukan menerusi Maxi Araujo pada separuh masa kedua selepas penjaga gol Arab Saudi, Mohammed Al-Owais, turut melakukan kesilapan.

Keputusan-keputusan itu mencipta rekod unik dalam sejarah Piala Dunia apabila kesemua empat perlawanan yang berlangsung pada hari sama berakhir dengan keputusan seri, sesuatu yang belum pernah berlaku sebelum ini.

Selepas pusingan pertama, semua pasukan dalam Kumpulan G dan H kini berkongsi satu mata, menjadikan persaingan untuk merebut tempat ke pusingan kalah mati semakin terbuka.

-THE MALAYSIA VOICE

Cape-Verde-Spain.jpg