Oriental Interest Bhd (OIB) memperluas portfolio perumahan mampu miliknya di Selangor menerusi pelancaran Gardens Idaman, pembangunan baharu di bawah program Rumah Idaman yang menawarkan 616 unit kediaman dengan harga bermula RM250,000.
Projek bernilai pembangunan kasar (GDV) RM163.8 juta itu dibangunkan di atas tanah seluas 11.226 ekar dan dijangka siap pada 2030.
Gardens Idaman menawarkan pangsapuri pajakan berkeluasan 1,002 kaki persegi setiap unit, merangkumi tiga bilik tidur, dua bilik air serta dua ruang parkir. Kediaman berkenaan turut disediakan secara separa berperabot dengan kemudahan seperti almari pakaian, penghawa dingin, pemanas air, kabinet dapur, peti sejuk, televisyen dan kabinet TV.
Pembangunan berpagar dan berpengawal itu turut dilengkapi kemudahan komuniti termasuk Central Park, trek joging, gimnasium luar, taman permainan, gelanggang futsal dan pickleball, selain dewan serbaguna, tadika serta surau.
Pengurus Besar Unit Perniagaan Essential Myra, bahagian hartanah kediaman OIB, William Lew berkata penyertaan dalam program Rumah Idaman bukan sekadar memenuhi keperluan perumahan mampu milik, malah memberi peluang kepada pemaju menyediakan nilai tambah kepada pemilik dan komuniti.
Menurut beliau, aspek kelestarian turut diberi penekanan dalam pembangunan itu, meskipun pensijilan GreenRE bukan syarat mandatori bagi program berkenaan.
Gardens Idaman menerima pensijilan Provisional GreenRE Bronze, sama seperti projek akan datang OIB, Saujana Idaman di Dengkil.
Antara ciri hijau diterapkan ialah reka bentuk yang mengurangkan penyerapan haba, kelengkapan cekap air, bahan binaan rendah karbon, sistem lif cekap tenaga, cat rendah VOC dan penggunaan pencahayaan semula jadi.
Berdasarkan penilaian GreenRE, projek itu dijangka menjimatkan 30.61 peratus tenaga berbanding garis dasar, selain mengurangkan pelepasan karbon operasi kira-kira 337 tan CO₂e setahun.
Gardens Idaman turut mempunyai akses ke beberapa koridor utama Selangor serta jaringan lebuh raya ke Rawang, Sungai Buloh, Kwasa Damansara, Petaling Jaya dan Kuala Lumpur.
Projek itu menyusuli Putra Idaman yang dilancarkan pada 2024, manakala Saujana Idaman dijadual diperkenalkan pada suku ketiga 2026.
-THE MALAYSIA VOICE





