JUST IN

Kerajaan batalkan rumah terbuka Aidilfitri, hadkan lawatan luar negara

by | Mar 11, 2026 | National, News

Kerajaan memutuskan untuk tidak menganjurkan majlis rumah terbuka Aidilfitri tahun ini selain mengehadkan lawatan rasmi ke luar negara sebagai sebahagian daripada langkah berhemah dalam pengurusan perbelanjaan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keputusan itu dipersetujui bersama Jemaah Menteri sebagai langkah berjaga-jaga berikutan ketidaktentuan ekonomi global yang mungkin tercetus susulan konflik di Timur Tengah.

Menurut beliau, arahan sama turut terpakai kepada semua agensi kerajaan termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) supaya tidak menganjurkan majlis rumah terbuka sempena Aidilfitri.

“Sebagai satu isyarat kepada semua pihak bahawa kerajaan komited mengamalkan perbelanjaan yang lebih berhemah, kita memutuskan supaya tiada majlis rumah terbuka Aidilfitri dianjurkan oleh kerajaan, GLC dan juga GLIC tahun ini,” katanya pada sidang media khas di Putrajaya hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata langkah berkenaan bertujuan menggalakkan budaya kesederhanaan dalam kalangan pimpinan negara selain memastikan perbelanjaan kerajaan dapat dikawal dengan lebih baik.

Beliau berkata walaupun bekalan barangan asas seperti minyak dan gas masih berada pada tahap mencukupi ketika ini, kerajaan tetap mengambil pendekatan berhati-hati bagi mengelakkan sebarang kesan yang lebih besar sekiranya keadaan ekonomi global bertambah tidak menentu.

“Ada pihak bertanya mengapa langkah ini perlu diambil sedangkan bekalan asas masih stabil. Namun kita perlu bersikap waspada dan membuat persediaan awal supaya tidak berdepan situasi yang lebih sukar pada masa hadapan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Perdana Menteri turut memaklumkan bahawa kerajaan akan menghadkan perjalanan rasmi anggota pentadbiran ke luar negara sebagai sebahagian daripada langkah penjimatan tersebut.

Menurut beliau, menteri serta pegawai kerajaan hanya dibenarkan menghadiri lawatan yang benar-benar penting atau yang telah dijadualkan lebih awal.

“Lawatan ke luar negara akan dihadkan kepada program yang wajib dihadiri atau telah dirancang lebih awal. Langkah ini juga sebahagian daripada usaha memastikan perbelanjaan kerajaan dapat dikawal dengan lebih berdisiplin,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa langkah itu diambil bagi menunjukkan teladan yang baik kepada rakyat agar semua pihak mengamalkan sikap berjimat cermat dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu.

-THE MALAYSIA VOICE

DSAI-foto-PMO.jpg