OLEH: ZAHRIN ARIS
Isu menyalahkan Skim Wajib Tayang FINAS setiap kali filem gagal di pawagam adalah satu fenomena yang kerap berlaku dalam industri perfileman Malaysia dari dulu lagi. Ada beberapa sebab utama kenapa ini terjadi:
1. Persepsi salah terhadap fungsi Skim Wajib Tayang FINAS
Skim ini ditubuhkan untuk memberi peluang tayangan kepada filem tempatan, bukan menjamin kutipan atau kejayaan komersial. Ramai penerbit baru menganggap apabila filem mereka masuk panggung melalui skim ini, ia secara automatik akan mendapat sambutan dari penonton. Apabila tidak berlaku, skim ini pula yang dipersalahkan.
2. Kualiti filem dan pemasaran tidak memadai
Ada penerbit yang terlalu bergantung kepada slot tayangan dan tidak melabur dalam promosi, trailer, poster atau strategi digital. Kualiti skrip, lakonan dan sinematografi mungkin belum cukup kuat untuk menarik penonton.
Bila filem tidak laku, mereka rasa sistem tidak adil sedangkan masalahnya mungkin datang dari kandungan itu sendiri. Realitinya, promosi boleh tarik perhatian, tapi kalau kandungan tak bagus, penonton tak akan kekal di pawagam, apatah lagi nak sarankan pada orang lain.
Dalam era media sosial hari ini, ‘word of mouth’ lebih pantas dan jujur daripada sebarang iklan mahal.
3. Tekanan persaingan dan masa tayangan
Walaupun dalam tempoh Skim Wajib Tayang FINAS, filem boleh digugurkan dari pawagam selepas 4 hari jika kutipan sangat rendah. Penerbit kadangkala menyalahkan skim apabila filem mereka ditamatkan awal, walaupun itu adalah hak pengusaha pawagam atas dasar komersial.
Tambahan pula, ada yang merasakan filem mereka diletakkan pada tarikh yang tidak sesuai. Sedangkan yang memohon tarikh tayangan adalah penerbit itu sendiri dan persetujuan dari penerbit (bertembung dengan blockbuster tempatan/luar).
Isu lambakan filem tempatan tahun 2025 yang masih belum dikeluarkan adalah antara masalah struktur yang semakin membarah dalam industri perfileman Malaysia. Masalah ini memberi kesan besar terhadap kepercayaan awam, kelangsungan industri dan juga imej penerbit-penerbit tempatan.
Kesimpulannya, Skim Wajib Tayang FINAS bukanlah masalah sebenar, tapi ketidakfahaman tentang fungsinya dan persiapan tidak menyeluruh oleh penerbit baru yang sering membawa kepada kekecewaan. Sebenarnya, skim ini membantu. Tapi keberhasilan tetap datang dari kualiti dan strategi penerbit sendiri.
Skim Wajib Tayang FINAS adalah satu intervensi strategik yang sangat unik dalam konteks industri perfileman Malaysia. Ia bukan sesuatu yang wujud di negara lain dan jika ia dimansuhkan, kesannya kepada ekosistem filem tempatan boleh jadi sangat serius. Malah lebih teruk daripada apa yang kita lihat sekarang.
**Zahrin Aris merupakan Setiausaha Kehormat Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM)
-THE MALAYSIA VOICE