JUST IN
Groundbreaking archaeological discoveries in Turkiye in 2024
Malaysia fast becoming a unique nation
Proton e.MAS 7 Drives Malaysia’s Green Revolution
Lapangan Terbang Haneda Tokyo catat pertumbuhan, kekal di ranking ke-3 paling sibuk di dunia
Annoyance and irritability go hand in hand
National anti-corruption strategy on course
Yeo’s sokong Program Sukan Sekolah KPM, manfaatkan 300,000 pelajar
Ring in the Lunar New Year with G-SHOCK’s GST-B400CX-1A
Arte Corp, COBNB to manage short-term stays at Arte Solaris
Razali Alias adalah pemain naturalisasi pertama Malaysia?
OLEH: AZIZUL FARHAN
Pada ketika ini, pasukan bola sepak kebangsaan sedang menuju satu revolusi yang digerakkan oleh Tengku Mahkota Johor (TMJ).
Antara yang menjadi perhatian ialah apabila ramai pemain warisan dari Eropah dikatakan akan dinaturalisasikan untuk bermain bersama Harimau Malaya.
Mesti ramai juga yang tahu Bergson dan Manuel Hidalgo antara nama yang dicalonkan sebagai pemain naturalisasi nanti. Tapi mesti ramai yang akan ingat dengan aksi Sumareh pada 2018.
Bila sebut nama Mohamadou Sumareh, ramai peminat bola sepak tempatan terus anggap beliau pemain naturalisasi pertama dalam sejarah Malaysia. Tapi, benarkah?
Kalau kita gali semula sejarah, ada seorang lagi figura penting dalam arena bola sepak Malaysia yang sebenarnya lebih awal menjejakkan kaki ke pentas naturalisasi iaitu Allahyarham Razali Alias.
Razali Alias: Pemain naturalisasi sebelum zamannya
Razali Alias, nama yang mungkin tidak begitu dikenali generasi muda hari ini.
Lahir pada 17 September 1961 di Singapura, Razali memulakan kerjaya bola sepaknya dengan pasukan Singapura FA sebelum berpindah ke Selangor pada tahun 1982.
Di sinilah, Razali mula mencipta nama. Bersama pasukan Selangor, beliau memenangi Piala Malaysia sebanyak tiga kali iaitu pada tahun 1982, 1984 dan 1986.
Saat kemuncak kariernya di Selangor adalah ketika beliau bermain bersama legenda bola sepak Malaysia seperti Allahyarham Mokhtar Dahari, Mendiang R. Arumugam dan Dato’ Zainal Abidin Hassan.
Dalam final Piala Malaysia 1986, Razali mencatat sejarah apabila menjaringkan gol penyamaan penting dengan voli yang mengubah momentum perlawanan.
Selangor, yang ketika itu ketinggalan 1-0 kepada Johor, bangkit dengan penuh bergaya dan menang 6-1. Gol Razali menjadi salah satu momen paling diingati dalam sejarah bola sepak Malaysia.
Apa yang menjadikan kisah Razali menarik ialah perjalanannya untuk menjadi warganegara Malaysia.
Ketika bermain untuk Selangor, Razali memperoleh kewarganegaraan Malaysia pada 1984 dan mula diberi peluang menyarung jersi negara barunya.
Razali dipanggil menyertai skuad pra-Piala Dunia Malaysia untuk kempen kelayakan Piala Dunia 1986.
Pada tahun 1985, beliau telah mewakili pasukan kebangsaan Malaysia dalam dua perlawanan persahabatan menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Perlawanan ini membuktikan keupayaannya sebagai pemain serba boleh yang mampu menyesuaikan diri dengan pasukan kebangsaan Malaysia.
Beliau berada di Dubai bersama skuad Malaysia untuk siri perlawanan persahabatan sebagai persediaan, tetapi malangnya, berita buruk menantinya sekembalinya ke Lapangan Terbang Subang.
FIFA menghalang beliau daripada beraksi kerana peraturan yang melarang pemain mewakili dua negara berbeza dalam kejohanan rasmi.
Razali telah membuat penampilan bersama pasukan kebangsaan Singapura dalam kejohanan pra-Piala Dunia sebelum ini menyebabkan kelayakannya untuk Malaysia ditolak.
Kecewa di ambang impian
Bayangkan perasaan Razali ketika itu. Beliau sudah mula menjalani latihan pusat dan menyesuaikan diri dengan rakan sepasukan di Malaysia.
Malah, Datuk Abu Bakar Daud, pengurus pasukan kebangsaan ketika itu, sangat optimis dengan keupayaan Razali untuk menjadi tulang belakang pasukan dalam kempen kelayakan Piala Dunia.
Tetapi, sebuah teleks ringkas dari FIFA memusnahkan segalanya. Alasannya? Peraturan FIFA melarang pemain yang pernah mewakili negara lain dalam perlawanan rasmi untuk bertukar pasukan kebangsaan.
Walaupun FIFA menghalangnya untuk menyertai kejohanan rasmi seperti Piala Dunia, Razali masih dibenarkan bermain dalam kejohanan jemputan seperti Pesta Bola Merdeka dan Piala Raja Thai.
Razali terus bermain dengan semangat tinggi, menunjukkan bahawa bola sepak adalah lebih daripada sekadar peraturan. Ia adalah tentang dedikasi dan cinta terhadap sukan ini.
Legasi Razali Alias
Razali Alias adalah simbol perjuangan seorang atlet yang sanggup menyeberangi sempadan demi peluang untuk bermain di tahap tertinggi.
Selepas bersara, Razali terus menyumbang kepada bola sepak Malaysia sebagai jurulatih dan pengurus.
Beliau melatih Proton FC, ATM FA dan menjadi penolong jurulatih Selangor dari 2005 hingga 2007.
Namun, kehidupan Razali berakhir dengan tragis. Pada 27 Januari 2012, beliau meninggal dunia akibat komplikasi Hepatitis B di usia 51 tahun.
Pemergiannya meninggalkan kesan mendalam kepada mereka yang pernah mengenalinya.
Kisah Razali Alias membuka mata kita bahawa naturalisasi dalam bola sepak Malaysia bukanlah sesuatu yang baru.
Walaupun Sumareh menjadi pemain naturalisasi rasmi pertama yang berjaya menyarung jersi Malaysia dalam kejohanan rasmi, Razali Alias adalah pelopor sebenar.
Beliau membuktikan bahawa bola sepak tidak mengenal sempadan, tetapi semangat dan perjuangan adalah yang paling utama.
Jadi, lain kali bila kita bercerita tentang pemain naturalisasi, jangan lupa sebut nama Razali Alias.
Legasinya masih hidup. Bukan hanya di padang bola, tetapi dalam hati mereka yang menghargai sejarah dan perjuangan. Al-Fatihah untuk beliau.
SUMBER: THE PATRIOTS