JUST IN

PRN Melaka 2026: Ramalan 24 kerusi memihak BN-PN, PH kekal di dua kawasan

by | Nov 13, 2026 | National, News

Kerjasama strategik Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dilihat menjadi faktor utama yang mengubah landskap persaingan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 2026, dengan gabungan itu dijangka mencatat kelebihan ketara khususnya di kawasan majoriti Melayu.

Dapatan kajian lapangan ILHAM Centre menunjukkan penyatuan sokongan antara kedua-dua gabungan berkenaan, kekuatan jentera akar umbi serta penerimaan positif terhadap pentadbiran kerajaan negeri meletakkan BN-PN pada kedudukan lebih meyakinkan berbanding Pakatan Harapan (PH).

Menurut analisis itu, perpindahan undi antara penyokong BN dan PN memperlihatkan tahap kesepakatan yang tinggi, masing-masing sebanyak 91 peratus bagi pengundi PN kepada BN dan 78 peratus bagi pengundi BN kepada PN.

Perkembangan itu memberikan kelebihan besar kepada gabungan berkenaan dalam 23 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mempunyai sekurang-kurangnya 50 peratus pengundi Melayu, sekali gus mengecilkan ruang persaingan PH.

Kejayaan penyelarasan jentera UMNO dan PAS sehingga ke peringkat Pusat Daerah Mengundi (PDM) turut membantu memperkukuh kedudukan BN-PN, berbanding pihak lawan yang dilihat masih berusaha membina momentum kempen.

ILHAM Centre turut mendapati BN memasuki PRN kali ini dengan keyakinan tinggi, manakala PH berdepan kesukaran membentuk naratif politik yang mampu menggerakkan penolakan terhadap gabungan pesaingnya.

Walaupun isu rasuah, kos sara hidup dan kelemahan tadbir urus berpotensi menjadi modal kempen PH, isu berkenaan gagal disatukan dalam satu mesej besar yang konsisten dan berkesan merentas kawasan.

Sebaliknya, BN-PN dilihat lebih berjaya menyampaikan mesej kempen berteraskan identiti politik Melayu menerusi slogan ‘Asal Bukan PH’, selain memanfaatkan kekuatan organisasi dan sentimen pengundi setempat.

Penerimaan terhadap pentadbiran kerajaan negeri juga menjadi kelebihan penting BN. Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) dan Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat dilihat membantu merapatkan hubungan pemimpin dengan masyarakat menerusi penyampaian bantuan serta penyelesaian masalah setempat.

Penilaian ILHAM Centre menunjukkan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh memperoleh kadar kepuasan 86 peratus, manakala tahap penerimaan terhadap kerajaan negeri mencapai 85 peratus.

Dalam kalangan pengundi muda, kajian mendapati 21 peratus responden berusia bawah 30 tahun masih belum menentukan pilihan ketika kajian dijalankan. Sebahagian daripada mereka dijangka membuat keputusan pada saat akhir selepas menilai calon, parti dan perkembangan kempen.

Walaupun media sosial mempengaruhi persepsi politik golongan itu, faktor keluarga, peluang pekerjaan, pendapatan dan kos sara hidup kekal memainkan peranan penting dalam menentukan kecenderungan mereka.

PH pula dilihat masih mempunyai sokongan kukuh dalam kalangan pengundi bukan Melayu dan kawasan bandar, namun gagal memperluas pengaruh secara signifikan kepada pengundi Melayu serta kelompok atas pagar.

Sementara itu, kerjasama melalui Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) antara Kerajaan MADANI dengan BERSATU didapati tidak berjaya diterjemahkan kepada penyatuan sokongan di peringkat akar umbi berikutan ketidakjelasan bentuk kerjasama tersebut kepada pengundi.

Berdasarkan unjuran ILHAM Centre, BN-PN mendahului di 24 kerusi DUN, manakala PH berada pada kedudukan lebih selesa di Kota Laksamana dan Bandar Hilir. Ayer Keroh serta Kesidang pula dikategorikan sebagai kerusi sengit.

Kajian yang dilaksanakan dari 1 hingga 12 November itu melibatkan 805 responden melalui soal selidik bersemuka, selain lima sesi perbincangan kumpulan berfokus (FGD) membabitkan 40 informan dan 22 temu bual mendalam (IDI).

Meliputi kesemua 28 DUN di Melaka, kajian menggunakan kaedah persampelan rawak berstrata dengan margin ralat 3.45 peratus pada tahap keyakinan 95 peratus.

ILHAM Centre menjelaskan kajian berkenaan bukan semata-mata bertujuan meramalkan keputusan pilihan raya, sebaliknya meneliti tingkah laku, kecenderungan dan faktor yang membentuk pola pengundian masyarakat.

Dapatan itu memperlihatkan bahawa kekuatan jentera, keupayaan membina persefahaman politik dan prestasi pentadbiran setempat mampu menjadi penentu penting dalam persaingan pilihan raya, selain pengaruh isu nasional dan sentimen kepartian.

-THE MALAYSIA VOICE

foto-ILHAM-Centre.jpg