Jumlah penduduk Malaysia dianggarkan mencecah 34.4 juta orang pada suku ketiga 2026, meningkat 0.5 peratus berbanding 34.3 juta dalam tempoh sama tahun lalu, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Bagaimanapun, pertumbuhan penduduk yang sederhana itu hadir bersama beberapa perubahan demografi ketara, khususnya penurunan jumlah kelahiran, peningkatan kematian dan pertambahan kumpulan penduduk berusia.
Berdasarkan Perangkaan Demografi Malaysia, Suku Tahun Ketiga 2026, daripada keseluruhan penduduk, 31 juta atau 90.2 peratus merupakan warganegara, manakala 3.4 juta atau 9.8 peratus bukan warganegara.
Dari segi jantina, lelaki membentuk 52.4 peratus atau 18 juta daripada jumlah penduduk, mengatasi perempuan sebanyak 47.6 peratus atau 16.4 juta.
Struktur umur pula menunjukkan kumpulan berusia 15 hingga 64 tahun mendominasi populasi dengan 24.2 juta orang, diikuti golongan kanak-kanak berumur bawah 15 tahun sebanyak 7.3 juta dan warga emas berusia 65 tahun ke atas sebanyak 2.9 juta.
Perkembangan lebih ketara dapat dilihat menerusi statistik kelahiran hidup apabila Malaysia merekodkan 92,043 kelahiran pada suku ketiga tahun ini, merosot 7.8 peratus berbanding 99,786 kelahiran dalam tempoh sama 2025.
Daripada jumlah itu, bayi lelaki mencatatkan 47,143 kelahiran atau 51.2 peratus, manakala bayi perempuan sebanyak 44,900 kelahiran atau 48.8 peratus.
Nisbah jantina ketika lahir ialah 105 bayi lelaki bagi setiap 100 bayi perempuan.
Sebaliknya, jumlah kematian meningkat 8.7 peratus kepada 52,188 berbanding 48,001 dalam suku ketiga tahun lalu.
Lelaki menyumbang 57.3 peratus daripada keseluruhan kematian, manakala perempuan sebanyak 42.7 peratus.
Mengikut kumpulan umur, golongan berusia 60 tahun dan ke atas merekodkan jumlah kematian tertinggi sebanyak 36,795, diikuti kumpulan 41 hingga 59 tahun (10,629), 15 hingga 40 tahun (3,739) dan bawah 15 tahun (1,025).
Perbezaan antara kelahiran dan kematian bagaimanapun masih menunjukkan pertambahan semula jadi penduduk sebanyak 39,855 orang.
Dari segi komposisi etnik, kaum Melayu membentuk kumpulan terbesar dalam kalangan warganegara dengan 58.4 peratus, diikuti Bumiputera lain (22 peratus), Cina (12.3 peratus), India (6.5 peratus) dan lain-lain (0.8 peratus).
Secara keseluruhan, statistik berkenaan memperlihatkan Malaysia sedang melalui perubahan struktur demografi yang memerlukan perhatian, khususnya dalam perancangan kemudahan kesihatan, perlindungan sosial, peluang pekerjaan dan persediaan menghadapi peningkatan populasi warga emas.
Penurunan kelahiran bersama peningkatan kematian juga menjadi petunjuk penting kepada keperluan memperkukuh dasar kependudukan bagi memastikan pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat dapat dikekalkan dalam jangka panjang.
-THE MALAYSIA VOICE








