Manchester United dilaporkan sedang mempertimbangkan Mauricio Pochettino sebagai calon pengurus baharu bagi menggantikan Michael Carrick yang kini berdepan tekanan susulan prestasi mengecewakan kelab itu dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Bagaimanapun, usaha mendapatkan bekas pengendali Tottenham Hotspur dan Chelsea itu dijangka menelan belanja besar apabila United perlu menyediakan pampasan sekitar AS$10 juta (RM40.7 juta) untuk menamatkan kontraknya bersama pasukan kebangsaan Amerika Syarikat.
Menurut laporan The Athletic, perbincangan awal antara wakil United dan pihak Pochettino telah berlangsung pada Selasa, dengan rundingan mengenai syarat peribadi dikatakan menunjukkan perkembangan positif.
Evening Standard turut melaporkan bahawa jurulatih kelahiran Argentina itu terbuka untuk menerima tawaran berkenaan, sekali gus mencetuskan kemungkinan kepulangannya ke kancah bola sepak kelab selepas meninggalkan Chelsea pada 2024.
Namun, United perlu menyelesaikan isu kontrak Pochettino bersama US Soccer yang dilanjutkan pada Ogos lalu sehingga 2030. Perjanjian itu dipercayai mempunyai klausa pelepasan bernilai AS$10 juta, tidak termasuk kemungkinan kos tambahan untuk membawa masuk barisan pembantunya, termasuk Jesús Pérez.
Setakat ini, United dilaporkan belum mengemukakan pendekatan rasmi kepada badan bola sepak Amerika Syarikat itu.
Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Pegawai Eksekutif United Omar Berrada dan Pengarah Bola Sepak Jason Wilcox dilaporkan berada di Monaco untuk berbincang dengan pemilik bersama kelab, Sir Jim Ratcliffe mengenai kedudukan Carrick.
Prestasi United yang hanya meraih satu kemenangan daripada 10 perlawanan liga, selain mengumpul lapan mata dan menghuni tangga ke-18, meningkatkan desakan supaya perubahan dilakukan terhadap kepimpinan pasukan.
Keputusan seri 4-4 ketika menentang Aston Villa pada Ahad lalu, selepas United bangkit dengan dua jaringan pada masa kecederaan, turut menambah tekanan terhadap Carrick yang kini menyaksikan pasukannya gagal menang dalam lapan aksi liga berturut-turut.
Walaupun berdepan spekulasi pemecatan, Carrick tetap menyatakan keyakinan bahawa beliau akan meneruskan tugasnya.
Pochettino sebelum ini mencipta reputasi bersama Tottenham apabila membimbing kelab London itu ke final Liga Juara-Juara pada 2019. Beliau kemudian mengendalikan Chelsea sebelum mengambil alih pasukan kebangsaan Amerika Syarikat pada 2024.
Perlawanan menentang Liverpool di Anfield pada 22 November ini dijangka menjadi antara ujian penting buat United ketika pengurusan kelab mempertimbangkan langkah seterusnya.
-THE MALAYSIA VOICE








