Syarikat penerbangan tambang rendah Scoot menjalin kerjasama dengan Sony Pictures untuk memperkenalkan pengalaman penerbangan bertemakan filem Spider-Man: Brand New Day kepada para penumpangnya sehingga 13 September 2026.
Scoot dalam kenyataan hari ini memaklumkan inisiatif itu melibatkan dua pesawatnya iaitu Airbus A321neo dan Boeing 787 Dreamliner yang akan dihiasi dengan elemen khas bertemakan adiwira popular berkenaan.
Menurut syarikat itu, penumpang yang menaiki pesawat terbabit berpeluang menikmati suasana kabin yang diperkayakan dengan pelekat dekoratif, sarung penyandar kepala eksklusif serta alunan muzik daripada filem Spider-Man: Brand New Day sepanjang perjalanan.
Selain itu, penumpang turut berpeluang memperoleh cenderamata eksklusif seperti tag bagasi dan beg eko boleh lipat menerusi pembelian dalam pesawat, tertakluk kepada syarat dan terma yang ditetapkan.
Penerbangan sulung pesawat bertema itu dijadualkan berlepas ke Tokyo (Haneda) menggunakan Boeing 787 Dreamliner pada 30 Jun, manakala Airbus A321neo akan memulakan penerbangan ke Chiang Mai pada 1 Julai depan.
Selepas pelancaran tersebut, kedua-dua pesawat berkenaan akan digunakan bagi laluan terpilih yang melibatkan destinasi di Australia, China, Jepun, Filipina dan Thailand.
Scoot berkata pesawat bertema itu juga akan beroperasi dalam rangkaian penerbangan biasa syarikat mengikut jenis pesawat masing-masing, sekali gus memberi peluang kepada lebih ramai penumpang menikmati pengalaman unik itu walaupun tanpa membuat tempahan khusus.
Bagi melengkapkan pengalaman bertemakan Spider-Man, kawasan kaunter daftar masuk Scoot di Terminal 1 Lapangan Terbang Changi Singapura turut akan dihiasi dengan dekorasi khas yang menampilkan elemen daripada filem berkenaan.
Ketua Pegawai Komersial Scoot, Calvin Chan berkata kerjasama itu mencerminkan usaha berterusan syarikat untuk menawarkan pengalaman perjalanan yang lebih menarik dan bernilai kepada pelanggan.
“Kami teruja untuk mempersembahkan pengalaman penerbangan yang berbeza menerusi kolaborasi bersama Sony Pictures. Inisiatif ini selaras dengan komitmen Scoot untuk terus meneroka idea baharu dan menyediakan pengalaman yang lebih bermakna kepada para penumpang,” katanya.
Menurut Scoot, pesawat bertema Spider-Man itu akan ditandakan dalam platform tempahan syarikat termasuk laman web rasmi, aplikasi mudah alih dan program WeChat Mini Scoot bagi memudahkan pelanggan mengenal pasti penerbangan berkaitan.
Jadual operasi pesawat berkenaan akan dipaparkan di saluran rasmi Scoot dan tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa serta sebarang perubahan operasi dari semasa ke semasa.
-THE MALAYSIA VOICE






