JUST IN

Como benam Lens 9-1, cipta sejarah dalam kempen Liga Juara-Juara

by | Nov 5, 2026 | Sports

Como mencipta sejarah dalam kempen sulung Liga Juara-Juara apabila membelasah Lens 9-1 dalam aksi di Perancis, sekali gus menyamai rekod jaringan terbanyak oleh sebuah pasukan dalam satu perlawanan pertandingan berprestij itu.

Kemenangan luar biasa kendalian Cesc Fabregas itu menyaksikan Como menyamai pencapaian Bayern Munich yang turut meledak sembilan gol ketika menewaskan Dinamo Zagreb pada 2024.

Lebih mengagumkan, keputusan itu turut menjadi kemenangan terbesar pasukan pelawat dalam sejarah Liga Juara-Juara, selain menyaksikan Como muncul pasukan pertama menjaringkan sembilan gol dalam perlawanan di tempat lawan bagi saingan Piala Eropah sejak Feyenoord menewaskan Olympiakos Nicosia 9-0 pada 1971.

Kejayaan itu menyaksikan Como mengumpul 19 gol dalam empat perlawanan pertama kempen Eropah mereka, satu pencapaian yang belum pernah dilakukan mana-mana pasukan sebelum ini.

Como memulakan pesta jaringan seawal minit ketujuh menerusi Tasos Douvikas sebelum Nico Paz menambah gol ketiga menjelang tamat babak pertama.

Lucas da Cunha, Marc-Oliver Kempf dan Douvikas yang melengkapkan hatrik masing-masing terus menghukum pertahanan Lens selepas rehat.

Mattia Liberali, Martin Baturina dan pemain berusia 18 tahun, Matteo Papaccioli turut mencetak nama sebagai penjaring untuk melengkapkan kemenangan sembilan gol berkenaan. Lens sekadar memperoleh gol sagu hati menerusi Ruben Aguilar.

Kebangkitan Como sememangnya luar biasa memandangkan kelab itu pernah beraksi di Serie D, divisyen keempat bola sepak Itali pada musim 2018-19.

Perubahan besar bermula selepas kelab itu diambil alih syarikat media berpangkalan di London, Sent Entertainment, milik adik-beradik bilionair Indonesia, Robert Budi Hartono dan Michael Bambang Hartono pada 2019.

Di bawah kepimpinan Fabregas, Como membina pasukan berteraskan pemain muda yang berpotensi tinggi, sekali gus memperlihatkan perkembangan pesat dari segi prestasi dan identiti permainan.

Bekas pemain Manchester City, Nedum Onuoha menyifatkan pencapaian Como amat mengagumkan, terutama apabila mengambil kira mereka baru pertama kali beraksi di pentas Eropah.

Kemenangan itu bukan sahaja mengukuhkan kedudukan Como dalam kelompok empat teratas fasa liga, malah mengesahkan kemunculan mereka sebagai antara pasukan paling menarik perhatian dalam saingan musim ini.

-THE MALAYSIA VOICE

foto-Como-1907.jpg