Hyrox Malaysia memutuskan untuk tidak meneruskan kerjasama penajaan dengan jenama minuman beralkohol Carlsberg bagi penganjuran perlumbaan kecergasan Hyrox Kuala Lumpur 2026 susulan kontroversi yang mencetuskan bantahan pelbagai pihak.
Penganjur acara itu turut menyampaikan permohonan maaf selepas pengumuman kerjasama berkenaan di peringkat serantau menimbulkan kebimbangan serta rasa kurang senang dalam kalangan masyarakat tempatan.
Dalam kenyataan menerusi Instagram hari ini, Hyrox Malaysia mengakui pihaknya sepatutnya mengambil kira sensitiviti agama dan nilai budaya masyarakat Malaysia sebelum mengumumkan kerjasama berkenaan.
Penganjur turut mengambil tanggungjawab atas keputusan itu dan memaklumkan bahawa penamatan kerjasama bagi acara di Malaysia dibuat melalui persetujuan bersama Carlsberg.
Pada masa sama, Hyrox Malaysia memberi jaminan bahawa persiapan acara akan diteruskan dan mengiktiraf komitmen peserta yang telah menjalani latihan bagi menyertai pertandingan berkenaan.
Perkembangan itu menyusul selepas Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menegaskan tidak akan meluluskan penganjuran acara berkenaan selagi hubungan penajaan dengan syarikat minuman beralkohol itu tidak ditamatkan.
Kementerian turut mengarahkan semua elemen berkaitan penajaan termasuk logo, penjenamaan dan bahan promosi Carlsberg dikeluarkan daripada saluran pemasaran serta lokasi pertandingan.
Menteri Belia dan Sukan, Mohammed Taufiq Johari berkata pendirian itu selaras dengan Artikel 5.2 Kod Sukan Selamat Edisi Ketiga 2024 yang melarang syarikat berkaitan tembakau, rokok elektronik dan minuman beralkohol daripada menaja atau mempromosikan produk mereka dalam aktiviti sukan yang disokong kementerian.
Beliau menegaskan KBS tidak akan berkompromi dalam memastikan persekitaran sukan yang selamat dan sihat kepada semua peserta.
Kementerian turut menjelaskan permohonan lesen penganjuran masih dalam penelitian dan kerajaan belum memberikan kelulusan mahupun sebarang pembiayaan kepada acara berkenaan.
Hyrox Kuala Lumpur 2026 dijadual berlangsung dari 10 hingga 13 Disember ini di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).
KBS turut mengingatkan bahawa penganjuran acara sukan tanpa lesen Pesuruhjaya Sukan Malaysia merupakan kesalahan mengikut Seksyen 36(1) Akta Pembangunan Sukan 1997, yang memperuntukkan denda RM50,000 hingga RM500,000, penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.
-THE MALAYSIA VOICE








