OLEH: RIDHWAN NOH
Piala ASEAN FIFA 2026 yang julung kali dianjurkan bukan sekadar medan baharu untuk menentukan ‘raja’ bola sepak serantau, sebaliknya hadir pada waktu cukup penting buat Harimau Malaya yang sedang berusaha membina semula keyakinan selepas melalui tempoh penuh kontroversi.
Kejohanan yang berlangsung dari 24 Sept hingga 5 Okt itu menghimpunkan 14 pasukan, membabitkan kesemua 11 negara ASEAN serta tiga pasukan jemputan iaitu Bangladesh, Pakistan dan Hong Kong.
Malaysia beraksi di Divisyen 1 dalam Kumpulan A bersama Indonesia, Singapura dan Bangladesh, dengan hanya juara kumpulan layak ke final pada 5 Okt.
Atas kertas, Harimau Malaya mempunyai alasan untuk memasang sasaran tinggi. Malaysia kini berada di ranking ke-136 dunia, berbanding Bangladesh di tangga ke-181, manakala Indonesia di kedudukan ke-118. Namun ranking semata-mata tidak menjamin apa-apa, terutama apabila dua perlawanan penting menentang Bangladesh dan Indonesia berlangsung di Gelora Bung Karno.
Skuad 23 pemain kali ini juga memperlihatkan gabungan pengalaman, tenaga muda dan beberapa muka baharu. Kehadiran Bergson da Silva, Brad Tapp dan Manuel Hidalgo memberikan lebih banyak pilihan, khususnya di bahagian serangan dan pertahanan. FIFA sebelum ini mengesahkan Bergson dan Tapp layak mewakili Malaysia, sekali gus mengurangkan persoalan mengenai status kedua-duanya.
Namun, untuk melabelnya sebagai ‘skuad terbaik’ mungkin terlalu awal. Tan Cheng Hoe sendiri enggan terperangkap dengan label berkenaan kerana beliau masih mencari kombinasi ideal antara pemain berpengalaman dan bakat muda. Malah, tiga pemain iaitu Faris Danish Asrul, Sergio Aguero dan Romel Morales terpaksa diketepikan akibat kecederaan menjelang kejohanan.
Kredibiliti skuad ini, justeru, perlu diukur melalui prestasi di atas padang dan bukan nama besar. Kemenangan ke atas Bangladesh menjadi keperluan penting sebelum tumpuan beralih kepada Indonesia, manakala Singapura tidak boleh dipandang ringan.
Menariknya, Harimau Malaya mempunyai sedikit momentum. Di bawah Cheng Hoe, skuad muda Malaysia memenangi tiga daripada empat perlawanan peringkat kumpulan Hyundai Cup 2026 sebelum tersingkir kepada Vietnam pada peringkat separuh akhir.
Persoalan mengenai Cheng Hoe juga belum terjawab. Beliau kini hanya berstatus pengendali interim dan masa depannya bergantung kepada penilaian FAM. Presiden FAM Datuk Ab Ghani Hassan sebelum ini berkata keputusan positif di FIFA ASEAN Cup boleh membuka peluang untuk khidmat Cheng Hoe dikekalkan.
Dalam konteks itu, kejohanan ini menjadi ujian bukan sahaja kepada pemain, malah kepada Cheng Hoe sendiri. Pengalamannya membawa Malaysia ke final edisi 2018 memberikan kredibiliti, tetapi bola sepak hari ini menuntut lebih daripada nostalgia.
Malaysia juga perlu belajar daripada episod kontroversi kelayakan pemain yang mencetuskan kesan besar terhadap reputasi pasukan. CAS sebelum ini mengekalkan denda CHF350,000 terhadap FAM dan mengenakan penggantungan 12 bulan terhadap tujuh pemain dalam kes berkaitan dokumen naturalisasi dan kelayakan.
Harimau Malaya sememangnya perlu ‘move on’, tetapi melupakan kontroversi bukan bermakna mengabaikan pengajarannya. Kepercayaan penyokong hanya boleh dipulihkan melalui ketelusan, konsistensi dan keputusan yang meyakinkan.
Justeru, FIFA ASEAN Cup hadir pada detik yang cukup penting buat Harimau Malaya. Kejohanan ini memberi ruang untuk skuad negara menilai sejauh mana perubahan yang dibawa benar-benar mampu diterjemahkan kepada prestasi di atas padang.
Mara ke final pastinya menjadi sasaran, namun lebih penting ialah bagaimana Malaysia menghadapi setiap perlawanan, khususnya ketika berdepan lawan yang memiliki reputasi dan tekanan tersendiri.
Selepas segala kontroversi yang mengheret nama bola sepak negara, penyokong kini mahukan sesuatu yang lebih mudah iaitu sebuah pasukan yang bermain dengan identiti, disiplin dan keyakinan.
Dan mungkin, di sinilah peluang sebenar Harimau Malaya. Bukan untuk memadam apa yang telah berlaku, tetapi untuk menunjukkan bahawa pasukan ini mampu membuka lembaran baharu dengan prestasi yang boleh dinilai di atas padang.
Selebihnya, biarlah keputusan di FIFA ASEAN Cup menjadi jawapan.
-THE MALAYSIA VOICE








