JUST IN

10,000 Tiket Madani F1 habis terjual, KBS teliti tambahan kuota

by | Sep 2, 2026 | National, News, Sports

Kesemua 10,000 tiket di bawah inisiatif Tiket Madani bagi menyaksikan perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix Bahrain 2026 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) habis terjual, mencerminkan sambutan luar biasa rakyat terhadap kepulangan perlumbaan berprestij itu ke Malaysia.

Menteri Belia dan Sukan, Dr. Taufiq Johari berkata setakat ini, kerajaan belum membuat keputusan untuk menambah jumlah tiket yang diperuntukkan di bawah inisiatif berkenaan, namun pihak kementerian sedang meneliti kemungkinan menyediakan tambahan tiket Madani di lokasi yang bersesuaian.

“Buat masa ini, belum ada penambahan dan kesemua tiket telah habis dijual. Sebanyak 10,000 tiket diperuntukkan di bawah inisiatif Madani,” katanya selepas majlis pelancaran pendaftaran Sukarelawan Rakan Muda bagi Grand Prix Formula Satu Bahrain 2026.

Tiket Madani berharga RM200 setiap satu itu mendapat sambutan menggalakkan daripada rakyat Malaysia yang tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan perlumbaan F1 kembali berlangsung di Sepang selepas sembilan tahun.

Menurut Taufiq, jualan keseluruhan tiket bagi perlumbaan yang dijadualkan berlangsung dari 2 hingga 4 Oktober itu juga menghampiri kapasiti maksimum, dengan sebanyak 85,000 tiket telah terjual setakat ini, termasuk 27,000 tempahan.

Beliau berkata kementerian akan terus mencari mekanisme yang sesuai bagi memenuhi permintaan tinggi orang ramai, termasuk meneliti lokasi yang berpotensi untuk menawarkan tambahan tiket Madani.

“Kami sedang melihat sama ada terdapat lokasi tertentu yang boleh dipertimbangkan bagi menyediakan tambahan tiket Madani dalam masa terdekat,” katanya.

Grand Prix Bahrain itu akan berlangsung di SIC bagi memastikan perlumbaan berkenaan kekal dalam kalendar Formula Satu musim 2026 selepas acara asalnya dibatalkan awal tahun ini susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat.

Sementara itu, Taufiq berkata Kementerian Belia dan Sukan membuka peluang kepada 1,000 rakyat Malaysia untuk menyertai program Sukarelawan Rakan Muda bagi membantu menjayakan penganjuran acara F1 dan MotoGP di SIC bulan depan.

Daripada jumlah itu, 500 sukarelawan akan ditugaskan bagi perlumbaan F1 manakala baki 500 lagi akan terlibat dalam penganjuran MotoGP yang turut berlangsung di Sepang pada Oktober.

Permohonan akan dibuka secara dalam talian mulai 2 Sept menerusi platform MyProfile di bawah Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES).

Sukarelawan yang terpilih akan ditempatkan dalam empat bidang utama, iaitu perkhidmatan pelanggan, pengurusan tiket dan kemasukan, perhubungan atau pengiring tetamu serta pengurusan kawasan Madani.

Taufiq berkata penglibatan masyarakat merupakan antara elemen penting dalam memastikan kejayaan penganjuran sesuatu acara berskala besar.

“Bagi kami, kejayaan sesuatu acara bukan hanya bergantung kepada pengurusan yang baik di peringkat tertinggi, sebaliknya turut memerlukan penglibatan orang ramai.

“Ini merupakan peluang kepada rakyat Malaysia untuk memperoleh pengalaman menguruskan acara bertaraf dunia selepas sembilan tahun F1 tidak dianjurkan di negara ini,” katanya.

-THE MALAYSIA VOICE

F1-Sepang-foto-Tourism-Malaysia.jpg