JUST IN

Penstrukturan semula FAM: Jawatan penting pasukan kebangsaan kini dikosongkan

by | Jun 18, 2026 | Sports

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan penamatan kontrak beberapa pegawai dan barisan kejurulatihan pasukan kebangsaan menerusi persetujuan bersama sebagai sebahagian daripada langkah penyusunan semula pengurusan skuad negara.

Dalam kenyataan hari ini, badan induk bola sepak negara itu memaklumkan kontrak Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pasukan Kebangsaan, Rob Friend, berakhir secara rasmi pada 1 Jun lalu selepas kedua-dua pihak mencapai persetujuan untuk menamatkan kerjasama.

Menurut FAM, kontrak Ketua Jurulatih Pasukan Kebangsaan, Peter Cklamovski, bersama dua anggota staf teknikal skuad senior iaitu Matthew Smith dan Seiya Imazaki turut ditamatkan menerusi persetujuan bersama, berkuat kuasa pada 16 Jun.

Selain itu, Ketua Jurulatih Pasukan Bawah 23 Tahun (B-23) Kebangsaan, Nafuzi Zain serta jurulatih penjaga gol, Mohd Yazid Mohd Yassin, juga tidak lagi bersama pasukan kebangsaan selepas kontrak mereka ditamatkan atas persetujuan bersama mulai 15 Jun.

FAM dalam kenyataan sama menyatakan penghargaan kepada semua individu terbabit atas khidmat, dedikasi dan sumbangan yang diberikan sepanjang tempoh mereka bersama pasukan kebangsaan.

“FAM menghormati keputusan yang telah dicapai dan mengucapkan terima kasih atas komitmen serta jasa mereka dalam membantu pembangunan dan perjalanan pasukan kebangsaan,” menurut kenyataan itu.

Bagi memastikan kesinambungan program serta perancangan pasukan negara tidak terjejas, FAM berkata pihaknya sedang meneliti dan mengambil tindakan sewajarnya untuk mengisi kekosongan jawatan yang terlibat.

“Perkembangan lanjut mengenai pelantikan baharu dan hala tuju pasukan kebangsaan akan diumumkan dari semasa ke semasa,” ujar FAM.

-THE MALAYSIA VOICE

Cklamovski.jpg