JUST IN

Caj RM1 pengeluaran ATM kembali dimansuhkan bermula Julai 2026

by | Jun 15, 2026 | Business, Local, National, News

Sektor perbankan negara mengumumkan pemansuhan caj RM1 bagi pengeluaran wang tunai antara bank menerusi mesin pengeluaran automatik (ATM) dan mesin kitar semula pintar (SRM), berkuat kuasa 1 Julai depan.

Langkah itu diumumkan menerusi kenyataan bersama Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) serta Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM).

Menurut kenyataan itu, pelanggan yang memiliki kad debit keluaran mana-mana bank di Malaysia boleh membuat pengeluaran tunai secara percuma di lebih 14,000 ATM dan SRM yang disediakan institusi perbankan di seluruh negara.

Katanya, pelaksanaan inisiatif tersebut membolehkan pengguna mengakses wang tunai dengan lebih fleksibel tanpa perlu mengambil kira bank pengeluar kad atau lokasi mesin yang digunakan.

“Tiada had dikenakan terhadap jumlah transaksi pengeluaran yang layak menikmati pengecualian caj ini, tertakluk kepada syarat dan had pengeluaran yang ditetapkan oleh bank masing-masing,” menurut kenyataan berkenaan.

Ketiga-tiga persatuan itu berkata inisiatif yang dilaksanakan bersama Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) merupakan sebahagian daripada usaha berterusan industri untuk meningkatkan kemudahan dan kebolehcapaian perkhidmatan kewangan kepada orang ramai.

Menurut mereka, meskipun pembayaran digital semakin diterima meluas dalam kalangan pengguna, penggunaan wang tunai masih relevan dan penting bagi pelbagai urusan harian, terutama dalam komuniti tertentu serta sektor perniagaan kecil.

Sehubungan itu, pemansuhan caj pengeluaran ATM antara bank dilihat mampu mengurangkan kos yang ditanggung pengguna selain memastikan akses kepada wang tunai kekal mudah dan menyeluruh.

Dalam pada itu, industri perbankan akan terus menggalakkan penggunaan transaksi tanpa tunai menerusi pembangunan penyelesaian pembayaran digital yang lebih selamat dan efisien.

ABM, AIBIM dan ADFIM menegaskan bahawa usaha memperluas pilihan pembayaran, sama ada secara tunai atau digital, akan terus menjadi keutamaan bagi memastikan keperluan pelanggan dapat dipenuhi selaras dengan perkembangan landskap kewangan negara.

Untuk rekod, industri perbankan pernah melaksanakan pengecualian caj RM1 bagi pengeluaran tunai antara bank menerusi ATM rangkaian MEPS bermula 6 April 2020 ketika pandemik COVID-19 dan pelaksanaan PKP. Langkah itu diperkenalkan bagi mengurangkan pergerakan orang ramai serta menggalakkan penggunaan ATM terdekat, sebelum caj berkenaan dikembalikan semula pada 1 Februari 2022.

-THE MALAYSIA VOICE

FOTO-KL-Gateway-Mall.jpg