JUST IN

Jaslinda semakin pulih, berkemungkinan dibenar keluar hospital minggu ini

by | Jun 8, 2026 | National, News

Pendaki wanita yang ditemukan selamat selepas hilang selama dua minggu di kawasan hutan berhampiran Gunung Kanthan, Jaslinda Saludin, 49, kini berada dalam keadaan semakin baik dan dijangka dibenarkan pulang dari Hospital Tapah dalam tempoh beberapa hari lagi.

Pengarah Hospital Tapah, Dr. Wan Immi Salim berkata Jaslinda menunjukkan perkembangan pemulihan yang memberangsangkan sejak menerima rawatan sejurus selepas diselamatkan pada Sabtu, baru-baru ini.

Beliau berkata wanita itu kini lebih aktif, ceria dan menunjukkan peningkatan dari segi fizikal serta emosi, namun masih memerlukan pemantauan lanjut sebelum proses discaj dapat dilaksanakan.

“Keadaannya semakin stabil dan positif. Pasukan perubatan masih melakukan pemerhatian bagi memastikan beliau benar-benar bersedia untuk pulang,” katanya.

Kisah Jaslinda mendapat perhatian ramai selepas beliau dilaporkan hilang ketika melakukan aktiviti pendakian sebelum berjaya ditemui dalam keadaan selamat selepas 14 hari berada bersendirian di dalam hutan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO Perak Mohd Azlan Helmi berkata lawatan beliau ke Hospital Tapah mendapati Jaslinda berada dalam keadaan yang amat baik serta mempunyai semangat yang tinggi untuk kembali menjalani rutin harian.

Menurut beliau, antara perkara yang menjadi motivasi kepada Jaslinda ialah hasrat untuk menghadiri majlis konvokesyen anaknya dalam masa terdekat selain kembali bertugas seperti biasa.

“Beliau kelihatan ceria dan sangat positif. Walaupun masih terdapat sedikit kesan kecederaan pada kaki, ia tidak menjejaskan semangatnya untuk pulih sepenuhnya.

“Saya melihat proses pemulihan berjalan dengan pantas dan beliau sendiri berharap dapat meninggalkan hospital secepat mungkin,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, seorang penduduk Orang Asli yang terlibat dalam penemuan Jaslinda, Nazri Bah Eng, 55, berkata wanita itu dipercayai menggunakan sumber yang ditemui di hutan untuk meneruskan kelangsungan hidup sepanjang tempoh berkenaan.

Bagaimanapun, beliau berkata pemeriksaan terhadap beg sandang milik Jaslinda mendapati terdapat cendawan yang dikenal pasti sebagai beracun bersama beberapa helai daun asam batu dan dua botol air.

“Daun asam batu boleh dimakan, tetapi cendawan itu tidak selamat untuk dimakan. Mujur beliau tidak menjadikannya sebagai makanan,” katanya.

Nazri berkata beliau bersama rakannya sedang memancing berhampiran Kampung Lubuk Gaharu, Pos Musoh sebelum ternampak seorang wanita berjalan bersendirian menyeberangi sungai, yang kemudian dikenal pasti sebagai Jaslinda.

Katanya, penemuan itu mengakhiri pencarian yang melibatkan pelbagai agensi dan sukarelawan selepas lebih dua minggu operasi dijalankan.

-THE MALAYSIA VOICE

FOTO-Pengarah-Hospital-Tapah.jpg