JUST IN

Undang Siti Nurhaliza? Faizal Tahir serah kepada penganjur dan bajet

by | Jun 4, 2026 | THE GRAPEVINE

Penyanyi dan komposer terkenal, Faizal Tahir, tidak menolak kemungkinan untuk berkongsi pentas dengan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin dalam Konsert Suara Rakyat yang dijadual berlangsung pada 3 Oktober depan di Unifi Arena Kuala Lumpur.

Menurut Faizal, beliau amat menghargai sekiranya penyanyi tersohor itu bersetuju untuk muncul sebagai artis jemputan, namun mengakui segala keputusan berkaitan penglibatan mana-mana bintang besar bergantung kepada perancangan dan kemampuan pihak penganjur.

Katanya, mengundang nama besar dalam industri hiburan memerlukan komitmen kewangan yang signifikan dan perkara tersebut berada di bawah bidang kuasa penganjur, Hitman Solutions.

“Sudah tentu jika mahu menampilkan penyanyi legenda, ada kos yang perlu ditanggung. Itu perkara biasa dalam industri dan saya serahkan kepada pihak penganjur untuk menentukannya,” katanya pada sidang media Konsert Suara Rakyat di sini, hari ini.

Penyanyi yang popular menerusi lagu Mahakarya Cinta itu berkata, beliau tidak mempunyai sebarang halangan untuk bekerjasama dengan mana-mana artis ternama termasuk Siti Nurhaliza atau penyanyi legenda, M. Nasir, asalkan penglibatan mereka hadir secara sukarela dan dalam suasana yang positif.

Menurutnya, aspek paling penting adalah memastikan semua pihak yang terlibat, termasuk artis, pasukan produksi dan penganjur, berasa selesa sepanjang proses penganjuran konsert.

“Jika seseorang artis itu benar-benar mahu terlibat dan semua pihak gembira melaksanakannya, saya alu-alukan. Tetapi jika keadaan menjadi terlalu rumit atau ada pihak berasa terbeban, saya lebih rela mencari alternatif lain,” katanya.

Faizal yang bakal meraikan dua dekad penglibatannya dalam industri muzik menerusi konsert berkenaan berkata, beliau kini lebih cenderung kepada pendekatan kerja yang lebih mudah dan praktikal berbanding sebelum ini.

Jelasnya, pada fasa kerjaya dan usia sekarang, beliau memilih untuk memberi tumpuan kepada perkara yang membawa manfaat serta ketenangan kepada semua pihak yang terlibat.

Dalam pada itu, Faizal mengakui idea penganjuran Konsert Suara Rakyat sebenarnya datang daripada pihak Hitman Solutions dan bukan perancangan yang dicetuskannya sendiri.

“Saya sebenarnya cukup selesa dengan kehidupan sekarang dan tidak terlalu memikirkan soal mengadakan konsert besar. Namun selepas mendengar konsep yang dibentangkan, saya merasakan ia satu peluang yang wajar dimanfaatkan sebagai tanggungjawab kepada peminat dan bakat yang saya miliki,” katanya.

Konsert Faizal Tahir: Suara Rakyat dijangka menjadi antara acara muzik utama tahun ini, dengan jualan tiket pra-jualan bermula pada 9 Jun sebelum jualan umum dibuka sehari kemudian.

-THE MALAYSIA VOICE

dirgahayu-FT-CTDK.jpg