JUST IN

Misteri bayangan di flat kosong hantui penggambaran filem Polong

by | May 26, 2026 | THE GRAPEVINE

Proses pembikinan filem seram tempatan Polong bukan sahaja sarat dengan elemen mendebarkan di layar perak, malah turut diselubungi pengalaman ganjil apabila kru produksi berdepan kejadian misteri ketika menjalani penggambaran di sebuah flat kosong di Selangor.

Pengarahnya, Zulkarnain Azhar, berkata insiden itu berlaku apabila rakaman yang sedang diteliti memaparkan imej seakan-akan susuk tubuh sedang berdiri di belakang tingkap sebuah unit kediaman berhampiran set penggambaran.

Beliau berkata kemunculan imej berkenaan mengejutkan seluruh pasukan produksi kerana ia hanya kelihatan dalam satu rakaman, sebelum hilang sepenuhnya ketika babak sama dirakam semula.

“Ketika kami menyemak rakaman, jelas kelihatan seperti ada bayangan seseorang berdiri di tingkap rumah sebelah. Namun apabila kamera merakam semula dari sudut sama, imej itu sudah tiada.

“Keadaan itu menyebabkan semua yang berada di lokasi tertanya-tanya tentang apa sebenarnya yang dirakam,” katanya menerusi hantaran di media sosial.

Menurut beliau, bagi merungkai persoalan itu, beberapa kru bertindak memeriksa unit kediaman berkenaan. Namun, pemeriksaan mendapati rumah tersebut tidak berpenghuni dan berada dalam keadaan kosong.

Katanya, sehingga kini kejadian tersebut kekal sebagai pengalaman yang sukar dijelaskan dan masih menjadi perbualan dalam kalangan kru yang terlibat.

“Babak tersebut ada dalam filem. Siapa dapat kesan, maklumkan kepada saya,” ujarnya.

Filem terbitan Golden Star Pictures berkenaan menampilkan Mimi Lana sebagai Fatima, seorang wartawan jenayah yang berusaha menyingkap rahsia silam seorang bomoh wanita dengan kes pembunuhan ngeri bernama Maria Hadi lakonan June Lojong.

Turut membintangi ialah Fad Anuar, Nam Ron, Amir Nafis dan Nadiya Nisaa.

Karya itu turut mengambil inspirasi daripada kes jenayah berprofil tinggi yang pernah mencetuskan perhatian seluruh negara pada 1993.

Polong dijadual mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 28 Mei ini.

-THE MALAYSIA VOICE

kredit-foto-FINAS-Malaysia.jpg