Kerajaan memberi jaminan bekalan petrol RON95 dan diesel negara berada pada tahap stabil sekurang-kurangnya sehingga Julai ini walaupun dunia terus berdepan ketegangan geopolitik dan ketidaktentuan ekonomi antarabangsa.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata, jaminan itu hasil pemantauan rapi kerajaan terhadap rantaian bekalan minyak global selain hubungan diplomatik erat Malaysia dengan beberapa negara pengeluar minyak, termasuk Iran.
Beliau berkata kerjasama baik dengan negara terbabit penting bagi memastikan laluan strategik penghantaran minyak melalui Selat Hormuz kekal lancar tanpa gangguan.
“Setakat ini bekalan bahan api negara masih mencukupi dan insya-Allah keadaan itu dapat dikekalkan hingga Julai.
“Sebelum ini terdapat sedikit gangguan melibatkan diesel, walaupun bekalan petrol tersedia. Situasi itu memberi kesan kepada kos tertentu kerana sebahagian bekalan diperoleh dari luar negara dan melalui laluan perdagangan utama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Agihan Perdana Lembu Korban Madani Parlimen Permatang Pauh di Pulau Pinang, hari ini.
Dalam majlis itu, sebanyak 260 ekor lembu diagihkan kepada masjid dan surau di kawasan Parlimen berkenaan bagi melaksanakan ibadah korban sempena Aidiladha.
Anwar berkata konflik yang berterusan di Asia Barat memberi tekanan kepada pasaran tenaga dunia, termasuk peningkatan kos perlindungan insurans dan tambang perkapalan bagi penghantaran minyak mentah.
Namun, beliau menegaskan kerajaan kekal komited mengekalkan harga petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter sebagai langkah mengurangkan tekanan kos sara hidup rakyat.
Katanya, bagi mengimbangi kesan pelarasan harga diesel, kerajaan meneruskan pelaksanaan inisiatif bantuan melalui program Budi Madani yang memanfaatkan golongan petani, nelayan, pengusaha jentera pertanian, bas sekolah dan sektor logistik.
-THE MALAYSIA VOICE






