JUST IN

1 dalam 5 rakyat Malaysia alami masalah pendengaran, ini faktor utama

by | Apr 10, 2026 | National, News

Kira-kira satu daripada lima rakyat Malaysia kini berdepan masalah pendengaran, sekali gus menjadikan isu itu semakin membimbangkan dan memerlukan tindakan bersepadu.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata berdasarkan data National Otorhinolaryngology Registry, sebanyak 21.5 peratus rakyat negara ini terkesan, dengan hampir 44,000 kes direkodkan sehingga tahun 2025.

Beliau berkata golongan dewasa dan warga emas mencatatkan jumlah tertinggi iaitu lebih 80 peratus daripada keseluruhan kes.

Menurutnya, selain faktor genetik dan jangkitan, pendedahan berterusan kepada bunyi bising atau Noise-Induced Hearing Loss (NIHL) dikenal pasti sebagai antara punca utama masalah pendengaran.

“Tabiat mendengar muzik pada tahap bunyi tinggi menggunakan fon telinga atau fon kepala dalam tempoh lama turut meningkatkan risiko, khususnya dalam kalangan golongan muda,” katanya pada Sambutan Hari Pendengaran Sedunia 2026 Peringkat Kebangsaan di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata statistik global menunjukkan hampir satu bilion belia berisiko mengalami kehilangan pendengaran akibat amalan tersebut.

Dalam sektor pekerjaan, data Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) menunjukkan NIHL kekal sebagai penyakit pekerjaan paling banyak dilaporkan di Malaysia.

Katanya hospital kerajaan termasuk Hospital Kuala Lumpur sering menerima pesakit pada tahap kronik, terutamanya melibatkan mereka yang terdedah kepada bunyi bising industri.

Sehubungan itu, beliau menggesa majikan supaya memperkukuh Program Pemuliharaan Pendengaran dan mematuhi Peraturan Pendedahan Bising 2019 bagi melindungi pekerja.

“Kerosakan pendengaran akibat bunyi bising adalah kekal, namun boleh dicegah sepenuhnya jika langkah perlindungan diambil lebih awal,” katanya.

Sehingga Februari lalu, seramai 50,413 individu berdaftar sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) pendengaran.

Dalam pada itu, Dr Dzulkefly menegaskan keperluan mengubah persepsi masyarakat daripada simpati kepada pengiktirafan potensi golongan berkenaan.

Katanya kejayaan pelajar bermasalah pendengaran meraih keputusan cemerlang dalam SPM 2025 membuktikan mereka mampu bersaing setara dengan rakan sebaya.

Beliau berkata sokongan keluarga amat penting, justeru Kementerian Kesihatan memperkenalkan Modul Habilitasi Aural Pediatrik Malaysia (MyPAHM) bagi membantu ibu bapa membimbing anak-anak.

Selain itu, kerajaan turut memperkukuh saringan pendengaran bayi baharu lahir serta menyediakan bantuan pembiayaan melalui pelbagai agensi, termasuk program implan koklea yang telah memberi manfaat kepada ratusan pesakit.

-THE MALAYSIA VOICE

hearing-loss-GAMBAR-HIASAN.jpg