Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan terus menerajui penganjuran perlumbaan berbasikal antarabangsa Le Tour de Langkawi (LTdL) untuk tempoh tiga tahun bermula tahun ini, sekali gus mengekalkan peranan kementerian itu bagi edisi 2026 yang dijadual berlangsung dari 27 September hingga 4 Oktober.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata keputusan tersebut dipersetujui Jemaah Menteri selepas pembentangan kertas cadangan pada 8 April, yang menetapkan LTdL terus berada di bawah tanggungjawab KBS sebagai badan utama penganjur.
Menurut beliau, penglibatan KBS dalam penganjuran LTdL sebelum ini telah membuahkan hasil yang baik, termasuk pengiktirafan daripada Union Cycliste Internationale (UCI) yang mengiktiraf Malaysia antara penganjur terbaik di peringkat global.
“Pengiktirafan ini membuktikan keupayaan kita menguruskan LTdL pada standard antarabangsa, dan sebab itu KBS diberikan mandat untuk terus mengetuai penganjuran bagi tempoh tiga tahun,” katanya pada sidang media di Menara KBS hari ini.
Sebelum ini, terdapat jangkaan bahawa Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan mengambil alih penganjuran LTdL 2026 daripada Majlis Sukan Negara (MSN), yang mengendalikan perlumbaan itu dalam beberapa edisi terdahulu.
Bagaimanapun, Dr Mohammed Taufiq berkata KBS bersama MSN akan terus memainkan peranan penting dalam aspek teknikal dan operasi, termasuk penyediaan laluan perlumbaan serta pengalaman penganjuran yang telah dibina selama ini.
Beliau turut menjelaskan bahawa LTdL 2026 dijangka melibatkan peruntukan kira-kira RM12 juta melalui Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara (KWASN), selain bergantung kepada sokongan penajaan daripada sektor swasta bagi menampung keseluruhan kos.
“Usaha menarik lebih banyak penaja akan terus dipergiat bagi memastikan penganjuran LTdL dapat dilaksanakan dengan lebih mantap dan berkesan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa kerjasama antara kementerian termasuk MOTAC akan diteruskan bagi memastikan LTdL bukan sahaja kekal sebagai acara sukan bertaraf dunia, malah turut menyumbang kepada promosi pelancongan negara serta imej Malaysia di peringkat antarabangsa.
-THE MALAYSIA VOICE






