Harga diesel tanpa subsidi di negara ini terus meningkat apabila mencatat RM6.72 seliter bagi tempoh 9 hingga 15 April, berbanding RM6.02 seliter pada minggu sebelumnya.
Kementerian Kewangan memaklumkan bahawa kenaikan itu turut melibatkan petrol, dengan RON97 direkodkan pada RM5.35 seliter manakala RON95 meningkat kepada RM4.27 seliter.
Menurut kementerian berkenaan, perkembangan tersebut dipengaruhi oleh peningkatan harga minyak mentah global yang berlarutan sejak beberapa minggu kebelakangan ini, susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat yang mencetuskan krisis tenaga.
“Kenaikan harga ini turut melibatkan kos tambahan lain seperti pengangkutan dan insurans, sekali gus memberi tekanan kepada harga runcit bahan api,” menurut kenyataan itu.
Walaupun terdapat perkembangan positif apabila harga minyak mentah dunia menunjukkan sedikit penurunan susulan pengumuman gencatan senjata, kementerian menjelaskan kesannya tidak dapat dirasai serta-merta di peringkat domestik.
Ini kerana, penetapan harga bahan api di Malaysia mengambil kira purata harga mingguan produk petroleum, bukan berdasarkan perubahan harga harian semasa.
Dalam tempoh lima minggu lalu, pasaran global menyaksikan harga produk petrol mencecah sekitar AS$150 setong, manakala diesel meningkat sehingga kira-kira AS$250 setong, yang terus mempengaruhi struktur harga tempatan.
Sementara itu, kerajaan menegaskan bahawa pendekatan subsidi bersasar masih diteruskan bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
Harga RON95 di bawah program Budi Madani (Budi95) kekal pada RM1.99 seliter, manakala harga diesel bersubsidi bagi Sabah, Sarawak dan Labuan turut tidak berubah pada RM2.15 seliter.
-THE MALAYSIA VOICE






