JUST IN

Filem ‘Terbang’ angkat kisah inspirasi Karamjit Singh ke layar perak

by | Apr 7, 2026 | News, THE GRAPEVINE

Filem ‘Terbang’ yang dijangka menemui penonton di pawagam tahun ini tampil sebagai sebuah naskhah dramatik berinspirasikan kisah benar legenda rali negara, Karamjit Singh, sekali gus mengangkat semangat juang atlet Malaysia ke persada antarabangsa.

Karamjit Singh, yang dikenali sebagai ‘Flying Sikh’, mencipta sejarah apabila muncul sebagai pelumba Asia pertama menjuarai Kejuaraan Rali Dunia (WRC) kategori Production Cars pada 2002, selain kejayaan gemilang dalam FIA Asia Pacific Rally Championship 2001 yang mengharumkan nama negara.

Kisah kehebatan dan jatuh bangun figura ikonik itu menjadi inspirasi utama kepada filem arahan Chiu Keng Guan, yang sebelum ini dikenali menerusi karya seperti OlaBola dan The Journey. Menurut beliau, ‘Terbang’ bukan sekadar memaparkan perlumbaan, sebaliknya menyentuh soal kepercayaan terhadap diri serta keberanian mencabar batas kemampuan.

“Setiap individu mempunyai had tersendiri, namun kekuatan sebenar adalah apabila kita berani melangkaui had tersebut,” katanya.

Filem ini mengangkat perjalanan watak utama, Ajeet lakonan Irfan Zaini, seorang bekas pelumba rali yang berdepan trauma akibat kemalangan tragis sehingga meninggalkan dunia perlumbaan. Kehidupannya kembali berubah apabila dia mengambil keputusan untuk kembali ke trek selepas lima tahun, demi keluarga dan masa depan.

Namun, kepulangan Ajeet tidak mudah apabila dia perlu bergandingan dengan Kitt, seorang pelumba muda yang berkarisma tetapi beremosi. Dinamika hubungan mereka mencetuskan konflik yang menguji kesabaran serta keyakinan diri Ajeet yang masih dihantui masa silam.

Dengan sokongan isterinya Lisa, serta pasukan TERT Malaysia yang diterajui Rahim dan Imran, mereka berusaha menawan pentas dunia. Persoalan utama yang menjadi tunjang cerita ialah sama ada Ajeet mampu mengatasi ketakutan untuk kembali mencipta kejayaan.

Selain Irfan Zaini, filem ini turut dibintangi barisan pelakon terkenal seperti Zizan Razak, Jack Tan, Nam Ron dan Diana Danielle, selain penampilan Aiman Hakim, Shweta Sekhon serta Mikael Noah.

Diterbitkan oleh Astro Shaw dengan kerjasama Woohoo Pictures, ‘Terbang’ turut menampilkan sinematografi oleh Lim Teck Siang dan muzik skor oleh Onn San, yang dijangka memperkukuh pengalaman visual serta emosi penonton.

Sebagai filem rali pertama Malaysia, ‘Terbang’ bukan sahaja menyajikan aksi perlumbaan berintensiti tinggi, malah mengangkat tema keberanian, pengorbanan dan kekeluargaan yang dekat dengan masyarakat.

Naskhah ini diyakini mampu memberi inspirasi kepada penonton, di samping membuktikan potensi industri perfileman tempatan untuk bersaing di peringkat global.

-THE MALAYSIA VOICE

filem-Terbang-coming-soon.jpg