JUST IN

TPM: Disiplin, kerjasama kerajaan dan rakyat kunci harungi krisis tenaga

by | Apr 2, 2026 | National, News

Malaysia terus memperkukuh kesiapsiagaan dalam menghadapi ketidaktentuan krisis tenaga global dengan menekankan kepentingan kerjasama menyeluruh antara kerajaan, rakyat dan sektor industri.

Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof berkata kerajaan komited memastikan bekalan tenaga negara kekal stabil, selain mengambil langkah bersepadu bagi mengurangkan tekanan kos yang berpunca daripada perkembangan geopolitik semasa di Asia Barat.

Beliau menjelaskan bahawa pendekatan yang diambil tidak hanya tertumpu kepada dasar kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan sokongan padu semua pihak termasuk pengguna dan komuniti perniagaan.

“Penggunaan tenaga secara cekap dan berdisiplin amat penting dalam situasi semasa. Semua pihak perlu memainkan peranan bagi mengelakkan pembaziran,” katanya dalam satu sesi taklimat khas di Putrajaya, hari ini.

Menurut beliau, walaupun Malaysia sebagai sebuah ekonomi terbuka tidak dapat mengelak daripada tempias krisis global, keadaan domestik masih berada dalam kawalan hasil tindakan awal dan strategi yang dirangka secara proaktif.

Namun, katanya, langkah berhati-hati perlu diteruskan memandangkan ketidaktentuan global yang berpotensi berpanjangan.

Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan sentiasa peka terhadap kebimbangan rakyat dan telah menyusun keutamaan yang jelas dalam menangani isu berkenaan.

Antara langkah utama termasuk memastikan bekalan petroleum negara mencukupi melalui pemantauan rapi rantaian bekalan oleh kerajaan bersama Petronas serta pemain industri berkaitan.

Selain itu, pelan alternatif juga disediakan bagi menghadapi kemungkinan gangguan bekalan, termasuk mendapatkan sumber dari pasaran lain sekiranya diperlukan.

Katanya, hasil pelaksanaan langkah-langkah tersebut, bekalan petroleum negara kekal berada pada tahap mencukupi dan tidak terjejas setakat ini.

Dalam pada itu, kerajaan terus melindungi kepentingan rakyat dengan mengekalkan harga petrol RON95 bersubsidi pada RM1.99 seliter, manakala pelarasan harga bahan api lain dilaksanakan secara terkawal bagi mengurangkan impak kepada pengguna.

-THE MALAYSIA VOICE

gambar-hiasan-KREDIT-Fadillah-Yusof.jpg