Perancangan rakyat Malaysia untuk berkunjung ke selatan Thailand sempena musim perayaan Aidilfitri diminta ditangguhkan sementara berikutan situasi bekalan bahan api yang tidak menentu di negara jiran itu.
Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi, berkata gangguan tersebut melibatkan kekurangan petrol dan diesel yang dilaporkan berlaku sejak beberapa hari lalu, sekali gus memberi kesan kepada perjalanan darat.
Beliau menjelaskan kawasan popular seperti Hat Yai dan Songkhla antara lokasi yang terjejas dengan kesesakan di stesen minyak akibat peningkatan permintaan secara mendadak.
“Orang ramai dinasihatkan supaya menangguhkan perjalanan sekiranya tiada keperluan mendesak. Namun, jika perjalanan tidak dapat dielakkan, pastikan segala persiapan dibuat dengan teliti,” katanya.
Menurut beliau, keadaan itu berpunca daripada tindakan pembelian panik oleh penduduk tempatan susulan kebimbangan terhadap perkembangan krisis di Asia Barat, dan bukannya masalah kekurangan bekalan sebenar.
Situasi berkenaan menyebabkan beberapa stesen minyak kehabisan stok dalam tempoh singkat selain mencetuskan barisan panjang kenderaan yang ingin mendapatkan bahan api.
Ahmad Fahmi berkata setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan melibatkan rakyat Malaysia yang terkandas, namun langkah berjaga-jaga wajar diambil sehingga keadaan kembali stabil.
Dalam pada itu, pihak berkuasa Thailand memberi jaminan bekalan bahan api negara masih mencukupi bagi menampung keperluan domestik.
Sementara itu, Presiden Persatuan Industri Pelancongan Halal Thai-ASEAN, Aida Oujeh, berkata gangguan bekalan itu dijangka berterusan dalam tempoh kira-kira 10 hari bermula 16 Mac.
Beliau turut menasihatkan pelancong dari Malaysia supaya mengisi penuh tangki kenderaan sebelum memasuki Thailand serta merancang pergerakan lebih awal bagi mengelakkan kesulitan mendapatkan bahan api.
-THE MALAYSIA VOICE






