Impian skuad Harimau Malaya untuk beraksi di pusingan akhir AFC Asian Cup 2027 tidak kesampaian selepas Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) memutuskan Malaysia menurunkan pemain yang tidak layak dalam dua perlawanan kelayakan sebelum ini.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam kenyataan memaklumkan keputusan tersebut dibuat oleh Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC yang bermesyuarat hari ini.
Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Jahangir Baglari itu mendapati FAM melanggar Artikel 56 Kod Tatatertib dan Etika AFC selepas menurunkan pemain yang tidak memenuhi syarat kelayakan ketika perlawanan menentang Nepal dan Vietnam dalam kempen kelayakan kejohanan berkenaan.
Berikutan pelanggaran tersebut, AFC memutuskan Malaysia dianggap tewas 3-0 bagi kedua-dua perlawanan berkenaan mengikut Artikel 25.1 kod tatatertib.
Sebelum ini, Harimau Malaya mencatat kemenangan 2-0 ke atas Nepal di Stadium Sultan Ibrahim pada 25 Mac 2025, sebelum menewaskan Vietnam 4-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Jun 2025.
Selain pembatalan keputusan perlawanan, FAM turut dikenakan denda sebanyak AS$50,000 (kira-kira RM196,000).
Menurut FAM, badan induk bola sepak negara itu akan memohon penjelasan bertulis daripada Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC bagi mengetahui alasan penuh keputusan berkenaan sebelum menentukan tindakan lanjut.
Keputusan tersebut memberi kesan besar kepada kedudukan Malaysia dalam Kumpulan F. Pasukan negara yang sebelum ini mengumpul 15 mata kini hanya memiliki sembilan mata selepas enam mata ditolak.
Situasi itu sekali gus menamatkan peluang Harimau Malaya untuk mara ke Piala Asia 2027 yang akan berlangsung di Arab Saudi.
Dalam perkembangan sama, Vietnam kini mengungguli kumpulan dengan 18 mata dan mengesahkan status sebagai juara kumpulan untuk layak secara automatik ke kejohanan berprestij Asia itu.
Terdahulu, AFC turut menyiasat kes berkaitan dakwaan pemalsuan dokumen yang melibatkan tujuh pemain iaitu Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, João Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Héctor Hevel.
Bagaimanapun, keputusan jawatankuasa itu tidak melibatkan sebarang penggantungan terhadap pasukan kebangsaan Malaysia daripada pertandingan anjuran AFC.
-THE MALAYSIA VOICE






