JUST IN

Hari Wanita ‘ditunggang’: Kontroversi perarakan di KL undang kemarahan

by | Mar 12, 2026 | National, News, Opinions

OLEH: WAN JEBAT

Perarakan sempena sambutan Hari Wanita Sedunia yang berlangsung di sekitar ibu negara baru-baru ini, dari kawasan berhampiran Kompleks SOGO menuju ke Dataran Merdeka, mencetuskan polemik hangat apabila didakwa disalahgunakan untuk mempromosikan agenda yang bertentangan dengan nilai agama dan budaya masyarakat Malaysia.

Himpunan yang pada asasnya bertujuan memperjuangkan hak serta kebajikan wanita itu pada awalnya dilihat sebagai platform advokasi sosial yang sah. Namun suasana tersebut berubah kontroversi apabila beberapa peserta didapati membawa sepanduk dan plakad yang secara terbuka menyokong ideologi LGBTQ, selain menggunakan potongan ayat suci al-Quran yang disalahtafsirkan bagi menyokong agenda tersebut.

Tindakan berkenaan mencetuskan kemarahan banyak pihak, khususnya umat Islam, kerana dianggap mempermainkan kesucian agama serta menyentuh sensitiviti masyarakat majoriti di negara ini.

Lebih memburukkan keadaan, perarakan itu berlangsung dalam bulan Ramadan, ketika umat Islam memberi tumpuan kepada ibadah dan penghayatan nilai keagamaan. Ramai pihak mempersoalkan kewajaran penganjuran himpunan yang membawa mesej sensitif dalam tempoh yang begitu signifikan kepada umat Islam.

Sebenarnya, isu yang hampir sama pernah timbul dalam perarakan Women’s March pada tahun 2019. Ketika itu, Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin atau Dr MAZA pernah menegaskan bahawa tuntutan kelompok songsang adalah sesuatu yang bercanggah dengan fitrah penciptaan manusia.

Beliau menyifatkan fenomena tersebut sebagai sesuatu yang “menghairankan haiwan”, kerana haiwan sekalipun kekal mengikut ketetapan fitrah, sedangkan manusia yang dikurniakan akal memilih untuk menuntut pengiktirafan terhadap perkara yang bertentangan dengan norma semula jadi.

Hakikat bahawa kontroversi sama berulang menunjukkan wujud kelemahan dalam pemantauan dan kawalan terhadap penganjuran perhimpunan awam. Persoalan utama yang timbul kini ialah bagaimana sepanduk dan mesej sensitif sedemikian boleh terlepas daripada pengawasan pihak berkuasa.

Selain itu, terdapat juga pihak yang mempersoalkan sama ada penganjuran perarakan tersebut mendapat kelulusan rasmi atau sebaliknya. Dalam konteks undang-undang, sebarang perhimpunan awam perlu mematuhi peraturan tertentu serta memastikan kandungan mesej yang dibawa tidak menyentuh sensitiviti agama, kaum dan moral masyarakat.

Jika benar berlaku unsur penghinaan terhadap agama atau penyalahgunaan ayat suci al-Quran, maka perkara itu tidak boleh dipandang ringan. Ia wajar disiasat secara menyeluruh oleh pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia, selain melibatkan agensi berkaitan seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia bagi meneliti aspek sensitiviti agama.

Pada masa sama, pihak penganjur juga perlu lebih bertanggungjawab memastikan perarakan yang dianjurkan tidak dijadikan platform untuk menyelitkan agenda lain yang boleh mencetuskan ketegangan masyarakat.

Peristiwa ini juga menjadi peringatan bahawa sambutan Hari Wanita seharusnya kekal fokus kepada isu sebenar berkaitan wanita seperti keselamatan, kebajikan, kesaksamaan peluang dan perlindungan sosial. Bukannya dijadikan pentas untuk agenda ideologi yang menimbulkan perpecahan.

Sehubungan itu, tindakan tegas dan siasatan menyeluruh amat diperlukan bukan sahaja bagi menentukan sama ada berlaku pelanggaran undang-undang, tetapi juga bagi memastikan kejadian serupa tidak berulang pada masa hadapan.

Dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia, kebebasan bersuara dan berhimpun perlu sentiasa diimbangi dengan rasa tanggungjawab serta penghormatan terhadap agama, budaya dan nilai masyarakat. Tanpa keseimbangan itu, platform advokasi yang sepatutnya menyatukan masyarakat berisiko menjadi punca perbalahan yang tidak diingini.

-THE MALAYSIA VOICE

(Kenyataan ini adalah adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya mewakili pendirian rasmi The Malaysia Voice mahupun themalaysiavoice.com)

himpunan-kontroversi.jpg