JUST IN

Insiden serangan Cikgu Chandra boleh cetus ketegangan jika tidak ditangani tegas

by | Mar 10, 2026 | National, News, Opinions

OLEH: AHMAD FADHLI SHAARI

Tindakan ganas pembakaran kenderaan yang dilaporkan berlaku ke atas seorang individu dikenali sebagai Cikgu Chandra ini wajar dikutuk sekeras-kerasnya.

Perbuatan melampau seperti ini tidak boleh diterima dalam sebuah negara yang berteraskan undang-undang dan keamanan. Semua pihak serta rakyat diminta supaya kekal tenang dan tidak bertindak di luar batas kewarasan.

Pihak berkuasa juga didesak supaya mengambil serius perkembangan ini serta melaksanakan siasatan dengan segera, telus dan menyeluruh. Individu atau kumpulan yang terlibat mesti dikenal pasti dan dihadapkan ke muka pengadilan agar keadilan dapat ditegakkan serta menjadi pengajaran kepada pihak lain agar tidak melakukan tindakan serupa.

Setiap pihak hendaklah menghormati serta mematuhi undang-undang negara. Sebarang pertikaian atau ketidakpuasan hati mesti disalurkan melalui saluran undang-undang yang sah.

Mengambil undang-undang di tangan sendiri hanya akan memburukkan keadaan serta membuka ruang kepada unsur provokasi dan ekstremisme.

Perlu diingat bahawa apabila sesebuah negara mula bergolak dan keadaan menjadi huru-hara, akan ada pihak tertentu yang mengambil kesempatan daripada kekacauan tersebut untuk mencapai agenda mereka. Keadaan seperti ini tidak boleh dibiarkan sehingga menjejaskan keselamatan awam serta kestabilan negara.

Negara tidak boleh dibiarkan sampai ke tahap terpaksa diisytiharkan darurat. Sekiranya keadaan menjadi tidak terkawal sehingga membawa kepada darurat, rakyat dan negara secara keseluruhannya akan menanggung kerugian yang besar dari segi kestabilan, ekonomi dan kehidupan masyarakat.

Oleh itu, semua pihak perlu bertindak secara rasional dan bertanggungjawab demi memastikan keamanan negara terus terpelihara.

**Ahmad Fadhli Shaari merupakan Ketua Penerangan PAS Pusat

-THE MALAYSIA VOICE

(Kenyataan ini adalah adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya mewakili pendirian rasmi The Malaysia Voice mahupun themalaysiavoice.com)

bakar-kereta-cikgu-Chandra.jpg