JUST IN

Harga minyak dunia tembus AS$100 susulan ketegangan Asia Barat

by | Mar 9, 2026 | News, World

Harga minyak mentah global melonjak melepasi paras AS$100 (RM396.95) setong buat kali pertama dalam tempoh hampir empat tahun, dipacu kebimbangan terhadap kemungkinan gangguan bekalan susulan konflik yang semakin memuncak di Asia Barat.

Lonjakan mendadak itu menyaksikan dua penanda aras utama minyak dunia, Brent dan West Texas Intermediate (WTI), meningkat lebih 15 peratus ketika dagangan dibuka semalam, sekali gus mencapai paras tertinggi sejak permulaan konflik Russia-Ukraine pada 2022.

Kenaikan ketara itu berlaku ketika pasaran tenaga global semakin resah terhadap keselamatan laluan perkapalan di Selat Hormuz, yang menjadi nadi penting penghantaran tenaga dunia.

Selat strategik itu mengendalikan kira-kira satu perlima daripada perdagangan minyak mentah dan gas asli global, namun aktiviti maritim di kawasan berkenaan dilaporkan hampir terhenti sejak tercetusnya konflik pada 28 Februari lalu.

Pada masa sama, beberapa negara pengeluar minyak dan gas di rantau Teluk mengambil langkah berhati-hati dengan mengurangkan pengeluaran masing-masing berikutan ketidaktentuan keselamatan di kawasan itu.

Kebimbangan pasaran turut meningkat selepas laporan mengenai serangan Israel terhadap kemudahan penyimpanan bahan api di Tehran, yang mencetuskan spekulasi mengenai kemungkinan serangan balas yang menyasarkan infrastruktur tenaga di negara-negara jiran.

Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menyifatkan peningkatan harga minyak itu sebagai kesan sementara yang perlu diterima dalam usaha menangani ancaman nuklear Iran.

Menerusi kenyataan di platform Truth Social, beliau menegaskan kenaikan harga berkenaan dijangka tidak berpanjangan dan akan kembali stabil sebaik sahaja isu keselamatan tersebut ditangani.

Trump turut menegaskan bahawa langkah berkenaan penting demi menjamin keselamatan Amerika Syarikat serta kestabilan global.

Sementara itu, peningkatan harga minyak mentah berkenaan telah memberi kesan langsung kepada kenaikan harga petrol di Amerika Syarikat, sekali gus menjadi isu sensitif dalam landskap politik negara itu menjelang pilihan raya pertengahan penggal.

-THE MALAYSIA VOICE

gambar-hiasan-KREDIT-FOTO-Shell.jpg