Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan rakyat dan komuniti perniagaan supaya lebih berhati-hati dalam mengurus kewangan susulan kemungkinan kesan ekonomi global akibat konflik yang semakin memuncak di Asia Barat.
Beliau berkata perkembangan geopolitik semasa, termasuk serangan melibatkan Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran, berpotensi mencetuskan gangguan kepada rantaian perdagangan antarabangsa sekali gus meningkatkan kos pengangkutan serta harga barangan import.
Menurutnya, kerajaan sedang mengikuti rapat perkembangan tersebut bagi memastikan langkah sewajarnya dapat diambil untuk melindungi ekonomi negara daripada sebarang kesan negatif.
“Kita masih mempunyai sedikit ruang untuk bertahan dalam tempoh terdekat, mungkin sekitar satu hingga dua bulan. Namun situasi semasa menunjukkan petanda yang perlu diberi perhatian serius.
“Jika konflik ini berpanjangan, kos barangan termasuk makanan dan bahan import yang digunakan oleh perusahaan kecil dan sederhana berkemungkinan meningkat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di IOI City Mall, Putrajaya hari ini.
Anwar menjelaskan antara isu utama yang menimbulkan kebimbangan ialah gangguan terhadap laluan perkapalan penting di kawasan Teluk yang menjadi laluan utama penghantaran minyak, gas serta pelbagai komoditi perdagangan dunia.
Menurut beliau, lebih 200 kapal yang membawa bahan tenaga dan barangan dagangan dilaporkan terkandas atau terpaksa menggunakan laluan alternatif yang lebih jauh, sekali gus meningkatkan kos logistik global.
“Apabila kos penghantaran meningkat, kesannya akan dirasai pada harga barangan di pasaran,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan masyarakat supaya tidak memandang ringan perkembangan tersebut dan mula mengamalkan perbelanjaan secara berhemah.
“Saya menyeru rakyat, pekerja dan juga peniaga supaya lebih berwaspada serta mengelakkan pembaziran. Kita tidak mahu berada dalam keadaan terlalu selesa sehingga gagal bersedia menghadapi kemungkinan krisis ekonomi yang lebih besar,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar berkata kerajaan masih mengekalkan harga siling petrol RON95 pada RM1.99 seliter buat masa ini sambil terus memantau kesan perkembangan global terhadap ekonomi negara.
Beliau turut memaklumkan telah berhubung dengan beberapa pemimpin dunia termasuk Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan dan Presiden Indonesia Prabowo Subianto, selain pemimpin negara Asia Barat, bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai situasi konflik tersebut.
-THE MALAYSIA VOICE






