JUST IN

Jim Carrey atau penyamar? Penampilan di Anugerah Cesar cetus spekulasi

by | Mar 4, 2026 | News, THE GRAPEVINE, World

Kehadiran pelakon komedi terkenal Hollywood, Jim Carrey pada majlis Cesar Awards di Paris baru-baru ini mencetuskan perdebatan hangat dalam talian apabila penampilannya yang dikatakan berbeza menimbulkan pelbagai spekulasi.

Pelakon berusia 64 tahun itu menerima Anugerah Kehormat Cesar sebagai pengiktirafan terhadap sumbangannya dalam industri perfileman dan televisyen. Namun, gambar serta rakaman video majlis berkenaan yang tular menyaksikan segelintir netizen mempersoalkan sama ada individu yang hadir benar-benar Carrey atau sekadar penyamar.

Wakil Carrey, Marleah Leslie, tampil menafikan dakwaan tersebut dengan menegaskan bahawa pelakon itu sendiri menghadiri majlis berprestij yang berlangsung di Paris itu dan menerima anugerah berkenaan.

Spekulasi semakin memuncak apabila artis drag, Alexis Stone, memuat naik hantaran media sosial seolah-olah memberi bayangan bahawa beliau menyamar sebagai Carrey pada acara tersebut. Namun, pihak penganjur Cesar segera menepis dakwaan berkenaan.

Delegasi umum anugerah itu, Gregory Caulier, menjelaskan bahawa kehadiran Carrey telah dirancang sejak musim panas tahun lalu dan melalui perbincangan berbulan-bulan. Menurutnya, bintang filem The Truman Show itu turut berlatih menyampaikan ucapan dalam bahasa Perancis selama beberapa bulan, termasuk mendapatkan panduan sebutan tepat bagi beberapa perkataan.

“Beliau hadir bersama pasangan, anak perempuannya Jane, cucunya Jackson serta 12 ahli keluarga dan rakan terdekat. Sahabat lamanya, pengarah Michel Gondry, yang pernah bekerjasama dengannya dalam filem dan siri televisyen, juga berada di sana,” kata Caulier.

Carrey, yang sebelum ini pernah menyatakan hasrat untuk bersara daripada dunia lakonan, kembali menjadi perhatian umum sejak kemunculan semulanya pada tayangan perdana filem Sonic the Hedgehog 3 di United Kingdom tahun lalu.

Perubahan fizikalnya turut mengundang andaian mengenai kemungkinan prosedur kosmetik. Laporan Tahunan Persatuan Pakar Bedah Plastik Amerika Syarikat (ASPS) 2025 menyatakan peningkatan bilangan lelaki menjalani prosedur estetik, dengan lelaki merangkumi kira-kira tujuh peratus daripada keseluruhan pesakit pembedahan kosmetik pada 2024.

Bagaimanapun, Caulier menegaskan isu penampilan tidak seharusnya menenggelamkan penghormatan yang diberikan kepada Carrey.

“Yang penting adalah kemurahan hati, kebaikan dan keanggunannya,” katanya, sambil menambah bahawa pelakon itu menerima sambutan hangat hadirin ketika menyampaikan penghargaan kepada keluarga serta arwah bapanya dalam ucapan berbahasa Perancis sepenuhnya.

-THE MALAYSIA VOICE

PHOTO-Corbis-via-Getty.jpg

JUST IN 

SEARCH 

ADVERTISEMENT 

OUR CATEGORIES