JUST IN

MCMC perketat pemantauan video lama hina al-Quran yang tular semula

by | Mar 2, 2026 | National, News

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang mempergiat usaha menangani penularan semula sebuah video lama bertarikh 2024 yang memaparkan perbuatan menghina agama Islam, termasuk tindakan memijak al-Quran.

Dalam kenyataan hari ini, MCMC memaklumkan pihaknya menerima beberapa aduan daripada orang awam berhubung kandungan berkenaan yang dimuat naik semula di media sosial sehingga menimbulkan keresahan serta ketegangan dalam kalangan masyarakat.

Menurut suruhanjaya itu, siasatan awal mendapati individu yang terlibat dipercayai seorang warga Singapura dan insiden berkenaan juga dipercayai berlaku di republik tersebut. Bagaimanapun, penyebaran semula video itu dalam talian telah mencetuskan reaksi negatif dalam kalangan pengguna media sosial di Malaysia.

Sehubungan itu, MCMC bekerjasama rapat dengan beberapa platform media sosial yang terlibat bagi memastikan langkah sewajarnya dapat diambil dengan kadar segera. Antara platform dikenal pasti ialah Threads, Facebook dan TikTok.

Kerjasama tersebut merangkumi usaha menyekat akses dan menghentikan penyebaran kandungan berkenaan dalam talian di Malaysia, selaras dengan undang-undang dan peraturan sedia ada.

MCMC turut menegaskan bahawa penyebaran kandungan yang menyentuh sensitiviti agama dan berpotensi menjejaskan keharmonian masyarakat majmuk negara ini adalah satu tindakan tidak bertanggungjawab. Individu yang didapati memuat naik atau berkongsi kandungan sedemikian boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut peruntukan yang berkuat kuasa.

Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terlibat dalam sebarang bentuk penyebaran semula video tersebut, termasuk melalui perkongsian di platform media sosial atau aplikasi pesanan.

Sebarang maklumat berkaitan kandungan berkenaan boleh disalurkan terus kepada MCMC melalui saluran aduan rasminya atau kepada Polis Diraja Malaysia untuk siasatan lanjut.

MCMC menegaskan komitmennya untuk terus memantau ruang siber bagi memastikan keharmonian serta ketenteraman awam sentiasa terpelihara.

-THE MALAYSIA VOICE

viral.jpg

JUST IN 

SEARCH 

ADVERTISEMENT 

OUR CATEGORIES