JUST IN

Lagu versi AI ‘Cinta Tersimpul Rapi’ diturunkan, Jane In Heaven akur kesilapan

by | Feb 27, 2026 | THE GRAPEVINE

Pempengaruh media sosial, Jane In Heaven, akur menurunkan lagu Cinta Tersimpul Rapi versi kecerdasan buatan (AI) selepas berdepan isu pelanggaran hak cipta.

Perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Jane menerusi perkongsian di TikTok Story, dengan menyatakan bahawa kandungan berkenaan tidak lagi tersedia di saluran YouTubenya susulan tuntutan hak cipta yang diterima.

“Saya ingin maklumkan bahawa versi ‘groovy pop’ lagu ini terpaksa diturunkan daripada saluran saya kerana isu hak cipta. Saya menerima keputusan ini dan mengakui kesilapan daripada pihak saya,” katanya.

Menurut Jane, penghasilan versi tersebut bertujuan untuk memberi nafas baharu kepada lagu asal nyanyian Anis Suraya, selain menjadi medium eksperimen penggunaan teknologi AI dalam muzik.

“Niat saya hanyalah untuk mencuba pendekatan baharu dan menghidupkan semula lagu lama dalam bentuk berbeza. Namun, saya sedar bahawa niat yang baik tidak menghalalkan cara,” katanya.

Beliau turut menegaskan komitmen untuk terus menyokong perkembangan industri muzik tempatan serta menghormati hak cipta pengkarya asal.

Dalam pada itu, Jane turut merakamkan penghargaan kepada peminat yang memberikan sokongan terhadap hasil karyanya.

“Sambutan yang diterima sangat di luar jangkaan saya. Saluran itu sekadar ruang kecil untuk saya berkongsi minat dan rasa,” katanya.

Untuk rekod, lagu ciptaan komposer Dr Azmeer itu sebelum ini berjaya mencatat jutaan tontonan di YouTube menerusi versi AI, sebelum diturunkan daripada platform berkenaan.

Sementara itu, syarikat rakaman Suria Records turut mengambil langkah melancarkan versi cover rasmi lagu tersebut selepas mengemukakan tuntutan hak cipta terhadap saluran Jane.

Versi baharu itu dinyanyikan oleh Intan Maya dan dimuat naik menerusi saluran YouTube rasmi syarikat berkenaan sebagai alternatif kepada pendengar.

‘Cinta Tersimpul Rapi’ merupakan trek kesepuluh daripada album Anis Suraya terbitan Suria Records pada 1999, hasil ciptaan Azmeer bersama penulis lirik Lukhman S.

-THE MALAYSIA VOICE

Cinta-Tersimpul-Rapi-cover.png

JUST IN 

SEARCH 

ADVERTISEMENT 

OUR CATEGORIES