JUST IN

Keputusan rayuan tujuh pemain warisan Harimau Malaya dijangka minggu depan

by | Feb 27, 2026 | Sports

Keputusan rayuan melibatkan tujuh pemain warisan Harimau Malaya di Court of Arbitration for Sport (CAS) dijangka diketahui minggu depan, menurut makluman rasmi badan itu.

Pegawai CAS, Vanessa, dalam satu e-mel memaklumkan bahawa panel arbitrasi memerlukan masa tambahan untuk bermesyuarat dan meneliti hujahan selepas sesi pendengaran kes yang berlangsung semalam.

Beliau berkata pihaknya tidak dapat menetapkan tarikh khusus pengumuman keputusan, namun menjangkakan keputusan awal tanpa alasan penghakiman akan dikeluarkan dalam tempoh terdekat, berkemungkinan minggu hadapan.

“Selepas pendengaran, panel akan bermesyuarat bagi membuat pertimbangan. Tiada tempoh masa tepat boleh diberikan, namun keputusan awal dijangka diumumkan minggu depan.

“Memandangkan kes ini berprofil tinggi, satu kenyataan media akan dikeluarkan. Penjelasan penuh akan disampaikan kepada pihak terlibat selepas keputusan diumumkan.

“Sekiranya tiada permohonan kerahsiaan, keputusan itu juga akan dipaparkan di laman sesawang CAS,” katanya.

Terdahulu, sesi pendengaran membabitkan rayuan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan berkaitan dakwaan pemalsuan dokumen diadakan di CAS.

Berdasarkan senarai pendengaran di laman rasmi CAS, kes itu melibatkan tujuh pemain iaitu Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, João Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Héctor Hevel.

Sebagai rekod, FIFA pada September tahun lalu mengenakan denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) terhadap FAM, manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (RM10,650) serta digantung selama 12 bulan daripada sebarang aktiviti berkaitan bola sepak.

FAM dan pemain terlibat kemudiannya mengemukakan rayuan, namun Jawatankuasa Rayuan FIFA pada November lalu mengekalkan hukuman berkenaan selepas menolak permohonan itu.

Susulan keputusan tersebut, satu lagi rayuan dikemukakan kepada CAS dan pada Januari lalu, badan itu memutuskan untuk menangguhkan sementara penggantungan 12 bulan yang dikenakan terhadap tujuh pemain terbabit, sekali gus membolehkan mereka kembali beraksi bersama kelab masing-masing sementara menunggu keputusan muktamad.

Keputusan yang bakal diumumkan itu dijangka memberi kesan besar terhadap perancangan skuad Harimau Malaya, khususnya menjelang kempen antarabangsa akan datang.

-THE MALAYSIA VOICE

HM-CAS.jpg

JUST IN 

SEARCH 

ADVERTISEMENT 

OUR CATEGORIES