JUST IN

Jeritan tengah malam cetus misi menyelamat ‘berani mati’ di Tasik Biru

by | Feb 26, 2026 | National, News

Keberanian tujuh pemuda yang bertindak tanpa memikirkan risiko diri berjaya mengelakkan tragedi lebih buruk apabila mereka menyelamatkan seorang wanita dan dua anak kecil selepas kenderaan dinaiki terhumban ke dalam Tasik Biru Kundang di Selangor lewat malam kelmarin.

Insiden kira-kira jam 12 tengah malam itu mencetuskan suasana cemas apabila jeritan meminta tolong kedengaran dari sebuah kereta yang semakin tenggelam. Mangsa terdiri daripada seorang wanita berusia lingkungan 40-an dan dua anak perempuannya berumur tiga serta enam tahun.

Kesemua mangsa berjaya dibawa keluar dalam tempoh singkat sebelum dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Salah seorang individu terawal berada di lokasi, Mohamad Fahmi Ismail, 33, berkata beliau menerima maklumat awal menerusi aplikasi WhatsApp komuniti setempat sebelum bergegas ke tasik berkenaan.

Menurutnya, keadaan gelap dan air yang dalam tidak menghalang mereka daripada bertindak. Beliau bersama enam lagi pemuda saling membantu dengan membentuk rantaian tangan bagi menghampiri kenderaan yang hampir tenggelam.

“Kami hanya fikir untuk selamatkan mangsa. Jeritan kanak-kanak itu benar-benar menyentuh hati dan beri kekuatan untuk teruskan usaha walaupun ada antara kami hampir keletihan,” katanya.

Difahamkan, kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X50 itu mempunyai sunroof yang terbuka, sekali gus memudahkan mangsa dikeluarkan tanpa peralatan khas.

Kedua-dua kanak-kanak berjaya diselamatkan terlebih dahulu manakala ibu mereka ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum diberikan bantuan awal di lokasi.

Penduduk setempat memaklumkan kawasan tasik yang juga bekas lombong itu pernah merekodkan beberapa insiden sama sebelum ini dan menyuarakan kebimbangan terhadap faktor keselamatan termasuk ketiadaan penghadang di lokasi tertentu.

Sementara itu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan terhadap tindakan tujuh pemuda terbabit menerusi hantaran di Facebook rasmi beliau.

Beliau menyifatkan pengorbanan mereka sebagai contoh terbaik semangat prihatin dan nilai kemanusiaan yang wajar dijadikan teladan, selain mendoakan agar ibu serta dua anak berkenaan diberikan kesembuhan segera.

-THE MALAYSIA VOICE

7-wira-Tasik-Biru.jpg

JUST IN 

SEARCH 

ADVERTISEMENT 

OUR CATEGORIES