JUST IN

Pelajar IPT ditahan, kerajaan tegas tangani isu sensitiviti agama

by | Feb 25, 2026 | National, News

Seorang pelajar di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) ditahan polis awal pagi tadi bagi membantu siasatan berhubung dakwaan memuat naik kandungan menyentuh isu agama, kaum dan institusi diraja (3R) di media sosial.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata suspek ditahan di sekitar daerah Kuantan dan pihaknya akan memohon perintah reman terhadap lelaki berkenaan hari ini bagi melengkapkan siasatan.

Beliau berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana menghina agama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun dan denda jika sabit kesalahan.

“Selain itu, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atas kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian untuk menyebarkan kandungan yang bersifat jelik dan menyakitkan hati,” katanya dalam kenyataan ringkas hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial satu hantaran daripada pemilik akaun ‘ryandaselva’ berunsur provokatif termasuk kandungan didakwa menghina Nabi Muhammad serta memaparkan tindakan memijak al-Quran, yang mencetuskan kemarahan dalam kalangan umat Islam.

Sementara itu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata kerajaan memandang serius insiden berkenaan dan telah mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil tindakan segera selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada.

Beliau berkata MCMC akan menyelaras tindakan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan siasatan dijalankan secara menyeluruh dan tegas tanpa sebarang kompromi.

“Perbuatan tersebut adalah biadab, menghina agama Islam serta mencabar sensitiviti dan keharmonian masyarakat majmuk negara ini. Kerajaan tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang tindakan yang menyentuh sensitiviti agama dan boleh menggugat ketenteraman awam,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam perkembangan berkaitan, individu yang dikaitkan dengan hantaran berkenaan dilaporkan telah tampil memohon maaf susulan tindakannya memuat naik gambar tersebut.

Kerajaan menegaskan bahawa kebebasan bersuara tidak boleh disalahgunakan sehingga mencetuskan ketegangan antara kaum dan agama, dan tindakan tegas akan terus diambil bagi memelihara perpaduan serta kestabilan negara.

-THE MALAYSIA VOICE

hina-pijak-al-Quran.jpg

JUST IN 

SEARCH 

ADVERTISEMENT 

OUR CATEGORIES