Ratusan umat Islam berhimpun di kawasan ikonik Times Square baru-baru ini bagi menyertai majlis berbuka puasa dan solat sunat Tarawih, dalam satu program komuniti yang menarik perhatian warga tempatan serta pengguna media sosial.
Program tersebut dianjurkan oleh pencipta kandungan Muslim Amerika yang dikenali sebagai WayofLifeSQ dan berlangsung di persimpangan Broadway dan Seventh Avenue. Sebanyak 1,500 pek makanan iftar diagihkan secara percuma kepada orang ramai tanpa mengira latar belakang agama atau bangsa.
Selain pengagihan makanan, penganjur turut mengedarkan kira-kira 1,200 naskhah al-Quran dalam pelbagai bahasa sebagai usaha memperkenalkan Islam kepada masyarakat setempat dan pelancong yang berada di lokasi tumpuan pelawat antarabangsa itu.
Rakaman program berkenaan yang dimuat naik di platform media sosial WayofLifeSQ menerima sambutan meluas dalam talian, sekali gus meningkatkan lagi kehadiran fizikal pada acara tersebut. Para peserta dilihat menunaikan solat Isyak sebelum meneruskan dengan solat sunat Tarawih secara berjemaah di ruang terbuka berkenaan.
Menurut penganjur, dua rakyat Amerika Syarikat turut melafazkan syahadah pada majlis itu, disambut dengan tepukan dan sokongan hadirin yang hadir.
Bagaimanapun, acara tersebut tidak terlepas daripada gangguan apabila seorang lelaki bukan Islam didakwa membuat provokasi dan mengeluarkan kenyataan berunsur Islamofobia terhadap peserta. Individu berkenaan dikatakan melaungkan tuduhan tidak berasas terhadap umat Islam sebelum cuba dirakam oleh penganjur dan orang awam.
Di media sosial, ramai pengguna memuji pendekatan inklusif program itu, khususnya selepas pelantikan Datuk Bandar Muslim pertama New York, Zohran Mamdani. Seorang pengguna platform X menyifatkan komuniti Islam di bandar itu sebagai mencerminkan kepelbagaian New York yang sebenar apabila makanan iftar diagihkan kepada sesiapa sahaja yang melalui kawasan tersebut.
Pihak berkuasa bandar sebelum ini pernah meluluskan penganjuran acara seumpama itu, termasuk ketika pentadbiran bekas Datuk Bandar Eric Adams, dengan program Ramadan turut diadakan di lokasi awam lain seperti Washington Square Park.
Lebih setengah juta umat Islam yang mengamalkan ajaran agama di New York City menyambut ketibaan Ramadan baru-baru ini, bulan yang dianggap paling suci dalam kalendar Islam.
-THE MALAYSIA VOICE






