JUST IN

Pindaan perlembagaan hadkan jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun

by | Feb 24, 2026 | National, News

Cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun akan menyebabkan penyandang yang telah mencapai tempoh itu tidak lagi boleh dilantik semula, sekiranya Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan diluluskan Parlimen.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said berkata had berkenaan ditentukan berdasarkan jumlah keseluruhan tahun seseorang memegang jawatan Perdana Menteri, dan bukan bersandarkan kepada bilangan penggal pentadbiran.

Beliau berkata pendekatan itu bermakna tempoh terdahulu yang telah dilalui seseorang Perdana Menteri tetap diambil kira dalam pengiraan had 10 tahun tersebut.

Sebagai contoh, katanya, sekiranya Perdana Menteri kini, Anwar Ibrahim, terus diberi mandat dalam pilihan raya umum akan datang, tempoh perkhidmatannya masih tertakluk kepada baki tahun yang belum melangkaui had maksimum berkenaan.

“Had ini adalah berdasarkan jumlah tahun seseorang itu berkhidmat. Ia bukan dikira mengikut satu penggal atau dua penggal, tetapi keseluruhan tempoh yang disandang,” katanya ketika ditemui pemberita di Parlimen, semalam.

Menurut Azalina, pindaan yang dicadangkan itu selaras dengan janji yang digariskan dalam manifesto Pilihan Raya Umum sebelum ini, sebagai usaha memperkukuh amalan demokrasi dan tadbir urus negara.

Namun, beliau tidak menolak bahawa sebarang perubahan pada masa depan bergantung kepada keputusan kerajaan semasa dan proses perundangan yang berkaitan.

Pada masa sama, beliau menjelaskan bahawa cadangan pindaan itu hanya terpakai kepada jawatan Perdana Menteri di peringkat Persekutuan dan tidak melibatkan jawatan Ketua Menteri mahupun Menteri Besar di negeri-negeri.

-THE MALAYSIA VOICE

gambar-hiasan-kredit-Azalina-Othman-Said.jpg

JUST IN 

SEARCH 

ADVERTISEMENT 

OUR CATEGORIES