JUST IN

Perikatan Nasional umum Dr Samsuri terajui Majlis Tertinggi

by | Feb 23, 2026 | National, News

Naib Presiden PAS yang juga Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dilantik sebagai Pengerusi baharu Perikatan Nasional (PN), berkuat kuasa serta-merta.

Timbalan Setiausaha Agung PN Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi gabungan berkenaan yang diadakan di Pejabat Agung PAS semalam.

Menurut beliau, pelantikan itu dibuat susulan kekosongan jawatan berkenaan selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin melepaskan jawatan tersebut kira-kira dua bulan lalu.

Takiyuddin menjelaskan perlembagaan PN tidak menetapkan syarat khusus bahawa jawatan pengerusi perlu diisi oleh presiden atau timbalan presiden mana-mana parti komponen.

“Majlis Tertinggi mempunyai kuasa memilih mana-mana pemimpin dalam PN untuk menggalas tanggungjawab sebagai pengerusi. Berdasarkan pertimbangan dan keupayaan yang dimiliki, PAS mencalonkan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri untuk memimpin gabungan ini,” katanya pada sidang media.

Beliau berkata pengalaman Ahmad Samsuri mentadbir Terengganu selama dua penggal serta prestasi cemerlang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 dan Pilihan Raya Negeri Terengganu menjadi antara faktor utama pemilihan itu.

Dalam perkembangan berkaitan, mesyuarat sama turut bersetuju melantik Muhyiddin sebagai Timbalan Pengerusi PN.

Pelantikan Ahmad Samsuri dilihat sebagai langkah penyusunan semula kepimpinan tertinggi PN susulan beberapa perkembangan dalaman membabitkan parti komponen gabungan itu sebelum ini.

Pemerhati politik berpandangan perubahan kepimpinan tersebut berpotensi memberi nafas baharu kepada PN dalam memperkukuh kesepaduan dan hala tuju gabungan berkenaan menjelang landskap politik yang semakin mencabar.

-THE MALAYSIA VOICE

foto-Dr-Ahmad-Samsuri.jpg

JUST IN 

SEARCH 

ADVERTISEMENT 

OUR CATEGORIES