OLEH: RAFIZI RAMLI
Terkini dari Amerika Syarikat – Mahkamah Agung Amerika Syarikat mengumumkan bahawa tarif yang dikenakan oleh Presiden Trump ke atas import dari negara lain adalah tidak sah di sisi undang-undang.
Oleh kerana tarif yang diumumkan sebelum ini tidak sah, Trump kemudiannya mengumumkan tarif yang sama ke atas semua barang import pada kadar 10%.
Saya hanya tersenyum.
Sejak awal lagi, orang sudah mengingatkan supaya tidak tergesa-gesa menandatangani perjanjian tarif dengan Amerika Syarikat, terutamanya jika persetujuan Malaysia itu dipakejkan sebagai syarat kehadiran Trump ke Malaysia.
Bersusah payah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, cuba meyakinkan rakyat bahawa tarif 19% yang Malaysia perlu bayar (termasuk dengan pelbagai perkara yang perlu dirujuk kepada Amerika Syarikat sebelum sesuatu keputusan dibuat) adalah hasil rundingan terbaik untuk rakyat Malaysia.
Kini, negara-negara lain di Asia Tenggara mentertawakan kita.
Mereka tidak perlu bersetuju dengan apa-apa, kedaulatan negara mereka tidak disentuh, dan mereka belum menandatangani sebarang perjanjian. Namun, tarif yang perlu mereka bayar hanyalah 10%, jauh lebih rendah berbanding kadar 19% yang dirundingkan oleh Perdana Menteri dan Tengku Zafrul.
Yang menjadi persoalan, di manakah Azam Baki dalam hal ini?
SPRM kini menyiasat saya atas tuduhan kononnya saya mengetuai rundingan perjanjian dengan syarikat gergasi cip dunia, ARM, secara tergesa-gesa sehingga merugikan negara.
Gajah di depan mata tidak kelihatan.
Jika mahu menyiasat bagaimana sesuatu perjanjian dibuat secara tergesa-gesa sehingga merugikan negara, siasatlah Perdana Menteri dan Tengku Zafrul berhubung perjanjian tarif ini.
Kini jelas bahawa Malaysia perlu membayar tarif yang hampir dua kali ganda berbanding negara-negara lain. Semuanya gara-gara mahu bertindak cepat demi menyambut kehadiran Trump sebelum ini.
**Datuk Seri Rafizi Ramli merupakan Ahli Parlimen Pandan dan Bekas Menteri Ekonomi
-THE MALAYSIA VOICE
(Kenyataan ini adalah adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya mewakili pendirian rasmi The Malaysia Voice mahupun themalaysiavoice.com)






