Lebuhraya Pantai Barat (WCE) menjangkakan peningkatan mendadak jumlah kenderaan menuju ke Lembah Klang hujung minggu ini berikutan tamatnya cuti Tahun Baharu Cina dan persekolahan, selain persiapan awal masyarakat menjelang Ramadan.
Menurut kenyataan WCE hari ini, kesesakan dijangka berlaku terutamanya pada waktu puncak sebelah petang hingga malam di laluan masuk ke Lembah Klang. Jumlah trafik harian dianggarkan melebihi 160,000 kenderaan, sekali gus berpotensi menyebabkan pergerakan menjadi lebih perlahan berbanding kebiasaan.
WCE memaklumkan bahawa corak aliran balik kali ini berbeza berbanding pergerakan keluar ketika awal musim perayaan yang berlaku secara berperingkat. Aliran pulang dijangka lebih tertumpu dalam tempoh singkat kerana kebanyakan pengguna perlu kembali bekerja dan menyusun jadual harian menjelang bulan Ramadan.
Sehubungan itu, orang ramai disaran menyusun jadual perjalanan lebih awal dan memilih waktu perjalanan yang bersesuaian bagi mengurangkan risiko terperangkap dalam kesesakan panjang. Pengguna turut digalakkan memanfaatkan WCE App untuk mendapatkan maklumat trafik terkini, termasuk paparan kamera CCTV secara langsung dan notifikasi keadaan semasa lebuh raya.
Dalam pada itu, aspek keselamatan terus menjadi keutamaan. WCE mengingatkan pemandu supaya memastikan kenderaan berada dalam keadaan optimum sebelum memulakan perjalanan jauh, selain mematuhi had laju dan arahan papan tanda. Penggunaan tali pinggang keledar serta sikap berhati-hati ketika memandu juga ditekankan.
Penunggang motosikal turut diingatkan agar tidak menyalahgunakan lorong kecemasan, yang hanya dikhaskan untuk kenderaan yang menghadapi kecemasan atau operasi bantuan.
Bagi menyokong peralihan kepada mobiliti hijau, kemudahan pengecasan kenderaan elektrik disediakan di beberapa plaza tol terpilih di jajaran Perak (Plaza Tol Trong, Plaza Tol Taiping Selatan) dan Selangor (Plaza Tol SAE, Plaza Tol Assam Jawa).
Sebarang kecemasan atau keperluan bantuan sepanjang perjalanan di WCE boleh disalurkan menerusi talian Infoline 1700-81-6600 untuk tindakan segera.
-THE MALAYSIA VOICE






