Polis dipercayai sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan seorang kanak-kanak perempuan menjadi mangsa penderaan oleh bapa tirinya sejak tahun lalu, susulan penularan beberapa rakaman video di media sosial yang memaparkan perlakuan lelaki berkenaan terhadap mangsa.
Kes tersebut terbongkar selepas ibu mangsa, Farieza Ismail, 28, memuat naik rakaman video berkenaan di laman Instagram miliknya. Wanita itu mendakwa kejadian berlaku ketika anak perempuannya berada dalam jagaan suaminya semasa beliau keluar bekerja.
Menurutnya, sepanjang tempoh tersebut, suaminya hanya berkongsi rakaman video yang menunjukkan anaknya dalam keadaan baik, sekali gus memberi gambaran seolah-olah tiada perkara mencurigakan berlaku.
“Namun hakikatnya, tanpa pengetahuan saya, dia melakukan kekerasan terhadap anak perempuan saya,” katanya menerusi hantaran berkenaan.
Farieza berkata, laporan polis telah dibuat pada pertengahan Disember lalu dan kes kini dalam tindakan pihak berkuasa. Bagaimanapun, beliau mendakwa sehingga kini belum menerima perkembangan terkini mengenai siasatan kes tersebut.
Beliau turut meluahkan kebimbangan terhadap keselamatan anak perempuannya serta seorang lagi anak lelaki hasil perkahwinan mereka yang didakwa masih berada dalam jagaan lelaki terbabit.
“Saya hanya mahukan keadilan dan keselamatan untuk anak-anak saya. Keadaan ini amat memberi kesan trauma kepada saya,” katanya sambil memaklumkan lelaki berkenaan sepatutnya menghadiri sebutan kes pada 4 Februari lalu.
Sementara itu, penyanyi rap dan aktivis media sosial, Ariz Ramli, yang turut dikenali sebagai Caprice, ketika mengulas insiden berkenaan memaklumkan bahawa kebiasaannya Unit Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Polis Diraja Malaysia akan mengambil tindakan segera dalam kes melibatkan kanak-kanak.
Beliau dilihat turut memperluaskan insiden tersebut kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat serta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Datuk Seri Nancy Shukri untuk perhatian dan tindakan lanjut.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes berkenaan diminta tampil membantu siasatan bagi memastikan kebajikan serta keselamatan mangsa terus terpelihara.
-THE MALAYSIA VOICE






