Kerajaan menegaskan bahawa semua rumah ibadat di negara ini wajib mematuhi peraturan serta kelulusan sah, dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) diberi tanggungjawab mengambil tindakan terhadap struktur yang dibina secara tidak teratur.
Perdana Menteri. Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah itu bertujuan memastikan keharmonian masyarakat terus terpelihara selain menjamin setiap pembangunan mematuhi undang-undang sedia ada.
Menurut beliau, pendekatan kerajaan bukan untuk mencetuskan konflik agama, sebaliknya mencari penyelesaian yang adil melalui perbincangan dan proses yang sah.
“Semua rumah ibadat, sama ada masjid, gereja, kuil atau lain-lain, mesti dibina dengan kelulusan. Sekiranya berlaku pelanggaran, tindakan perlu diambil mengikut undang-undang,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Perpaduan Negara di Putrajaya, hari ini.
Anwar berkata kerajaan tidak akan membenarkan percambahan rumah ibadat yang didirikan tanpa kebenaran, termasuk di kawasan awam atau tanah milik pihak lain, kerana perkara itu boleh menimbulkan isu perundangan serta sensitiviti masyarakat.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan kes tertentu, khususnya rumah ibadat yang telah lama wujud, akan diteliti secara berasingan dengan mengambil kira faktor sejarah serta keadaan setempat.
Dalam pada itu, Perdana Menteri menegaskan tindakan melampau seperti kempen merobohkan rumah ibadat juga tidak wajar kerana negara berpegang kepada prinsip undang-undang dan penyelesaian secara tertib.
Beliau berkata dasar berkaitan pembinaan rumah ibadat tanpa kelulusan bukan perkara baharu, malah telah dilaksanakan oleh kerajaan terdahulu tanpa mengira pentadbiran.
“Kerajaan komited menjaga keharmonian antara agama dan menghormati hak setiap penganut, namun pelanggaran undang-undang tidak boleh dikompromi,” katanya.
Mengulas isu Batu Caves, Anwar menjelaskan kawasan itu mempunyai kelulusan sah, manakala cadangan pembinaan kemudahan seperti eskalator dilihat tidak menjejaskan hak mana-mana pihak serta bertujuan memudahkan penganut Hindu menunaikan ibadat.
Beliau berkata kerajaan akan terus mencari jalan penyelesaian secara berhemah dan inklusif agar isu berkaitan rumah ibadat dapat ditangani dengan adil, teratur dan selaras dengan peruntukan undang-undang negara.
-THE MALAYSIA VOICE






