Beberapa jalan utama di sekitar ibu negara akan ditutup sementara bermula petang esok bersempena penganjuran MotoGP Season Launch 2026, yang dijangka menarik kehadiran ramai pengunjung di kawasan KLCC.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata penutupan tersebut dilaksanakan secara terancang bagi memastikan keselamatan orang awam serta kelancaran trafik sepanjang acara berlangsung.
Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengawal selia pergerakan lalu lintas di lokasi terlibat melalui penugasan anggota trafik di laluan strategik.
“Penutupan ini melibatkan beberapa jalan utama dan akan dikuatkuasakan pada 7 Februari dari 2 petang hingga 12 tengah malam,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurut beliau, Jalan Ampang akan ditutup sepenuhnya bagi kedua-dua arah dari persimpangan Jalan P. Ramlee/Yap Kwan Seng hingga ke persimpangan Jalan Mayang.
Selain itu, laluan masuk Jalan Ampang dari persimpangan Jalan P. Ramlee ke arah Persiaran KLCC turut ditutup, manakala Jalan P. Ramlee berhampiran KLCC akan ditutup sepenuhnya dari persimpangan Jalan Ampang hingga persimpangan Jalan Pinang.
Sehubungan itu, pengguna jalan raya dinasihatkan supaya merancang perjalanan lebih awal, memilih laluan alternatif yang sesuai serta sentiasa mematuhi arahan pegawai polis dan petugas trafik bagi mengelakkan sebarang kesulitan.
-THE MALAYSIA VOICE






