Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan membuka bidaan awam bagi Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) kenderaan bermula siri FH 1 hingga FH 9999 menerusi Sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Dalam Talian (JPJeBid) sempena sambutan rasmi Hari Wilayah Persekutuan 2026, bermula Ahad ini.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, tempoh bidaan akan berlangsung selama lima hari dan ditutup pada jam 10 malam, Khamis depan.
Beliau berkata, pengenalan indeks khas ‘FH’ membawa nilai simbolik tersendiri sebagai tanda memperingati penubuhan Wilayah Persekutuan Putrajaya selain mengiktiraf sumbangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan dalam pembangunan negara.
“Nombor pendaftaran ini bukan sekadar identiti kenderaan, malah mencerminkan sejarah serta peranan penting Wilayah Persekutuan sebagai pusat pentadbiran dan pemangkin kemajuan nasional,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran NPI siri ‘FH’ bersempena Hari Wilayah Persekutuan yang berlangsung di Perbadanan Putrajaya, hari ini.
Aedy Fadly berkata, keputusan rasmi bidaan awam akan dimaklumkan dalam tempoh 24 jam selepas tarikh penutupan pendaftaran, iaitu pada 6 Februari ini.
Menurut beliau, harga bidaan minimum yang ditetapkan dalam sistem JPJeBid bergantung kepada kategori nombor yang ditawarkan, bermula dengan nombor bernilai utama atau Golden pada harga minimum RM20,000.
“Ini diikuti kategori nombor premium dengan harga RM5,000, nombor menarik RM2,500, nombor popular RM500, manakala nombor biasa atau ‘running number’ ditawarkan pada harga RM300,” katanya.
Beliau menegaskan, semua penyertaan bidaan tertakluk kepada terma dan syarat yang telah ditetapkan menerusi sistem JPJeBid.
“Setiap nombor pendaftaran yang berjaya dimenangi hendaklah didaftarkan pada sebuah kenderaan dalam tempoh 12 bulan daripada tarikh pengeluaran surat keputusan bidaan rasmi,” katanya.
-THE MALAYSIA VOICE






